B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan ekosistem EV diluluskan RM14.7 bilion sehingga September 2022 – Tengku Zafrul

Pelaburan ekosistem EV diluluskan RM14.7 bilion sehingga September 2022 – Tengku Zafrul

22 Feb 2023

Sejumlah RM14.7 bilion pelaburan dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) telah diluluskan sejak 2018 sehingga September 2022, merangkumi pemasangan kenderaan, komponen EV dan komponen pengecasan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata antara pelaburan yang diluluskan adalah pembukaan kemudahan pembuatan sel bateri EV dengan nilai pelaburan RM7 bilion oleh Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd sekali gus menjadikan Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara.

“Pasukan Petugas EV Kebangsaan (NEVTF) bertanggungjawab untuk menilai dasar semasa, memantau pelaksanaan program dan inisiatif serta merangka dasar dan inisiatif baharu berkaitan pembangunan industri EV dalam negara secara menyeluruh.

“Kesan daripada inisiatif-inisiatif NEVTF ini dapat dilihat dengan peningkatan ketara permintaan EV dengan jumlah permintaan EV (kategori kenderaan bateri elektrik sepenuhnya) melonjak kepada lebih 3,400 unit pada 2022 berbanding 300 unit secara purata pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, usaha menarik pelabur untuk memasang infrastruktur pengecas turut berkesan apabila jumlah stesen pengecasan meningkat pada kadar 69 peratus pada 2022 berbanding 2021, menjadikan jumlahnya mencecah 900 unit ketika ini dalam memenuhi sasaran 10,000 unit di seluruh negara menjelang 2025 seperti dinyatakan dalam Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon.

“Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini dan yang baharu pada masa hadapan dijangka dapat meningkatkan lagi penggunaan dan permintaan EV serta menarik pelaburan ekosistem EV bagi merealisasikan sasaran Malaysia untuk mencapai status negara neutral karbon menjelang 2050 seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Menjawab celahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) mengenai eksport tenaga boleh diperbaharui, Tengku Zafrul berkata ia masih dalam perbincangan dengan pihak terlibat termasuk Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Bagaimanapun beliau berkata pertimbangan selanjutnya perlu dilakukan bagi memastikan ia tidak menjejaskan hasrat negara untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

Di bawah Dasar Automotif Nasional 2020, hala tuju industri automotif tempatan telah ditetapkan untuk dibangunkan dan dikembangkan sebagai hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga termasuk EV dengan ciri-ciri Kenderaan Generasi Akan Datang yang berfungsi bukan sahaja dari segi pengurangan dalam pelepasan karbon dalam udara, malah keupayaan mengoptimumkan tenaga yang digunakan, katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon