B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pengekalan Fitch Ratings cerminkan keyakinan terhadap dasar dan prospek Malaysia – Tengku Zafrul

Pengekalan Fitch Ratings cerminkan keyakinan terhadap dasar dan prospek Malaysia – Tengku Zafrul

19 Jul 2021

Pengekalan penarafan oleh agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings, membuktikan daya tahan ekonomi negara dalam persekitaran yang tidak menentu, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata pengekalan  penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada BBB+ itu juga mencerminkan prospek dan asas pertumbuhan negara jangka sederhana yang kukuh serta lebihan akaun semasa yang stabil disokong oleh kepelbagaian pasaran dan produk eksport.

Katanya Malaysia secara konsisten mencatatkan lebihan akaun semasa sepanjang dua dekad dengan lebihan akaun semasa terbesar dicatatkan pada 2020 berjumlah RM184.8 bilion, bersamaan 4.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kedudukan itu turut disokong oleh rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luaran bank dan korporat yang besar serta kedudukan luaran mata wang asing bersih berjumlah RM1.1 trilion atau 77.0 peratus daripada KDNK pada akhir Mac 2021, katanya.

“Faktor-faktor ini disokong oleh dasar tukaran asing yang fleksibel, memperkuatkan keupayaan Malaysia berdepan dengan kejutan luaran.

“Tambahan pula, pengekalan Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) FTSE Russell merupakan satu testimoni ke atas pasaran modal yang maju serta asas makroekonomi yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Demi melindungi rakyat dan sektor perniagaan, sejak bermulanya pandemik COVID-19, katanya bantuan berterusan telah diberikan melalui pelaksanaan lapan pakej rangsangan dan bantuan kerajaan bernilai RM530 bilion dan belanjawan tahunan bernilai RM322.5 bilion bagi tahun 2021.

Tengku Zafrul berkata di bawah langkah-langkah Belanjawan 2021 dan pakej tersebut, RM300 bilion masih boleh dibelanjakan bagi menyokong pemulihan ekonomi,

terutamanya ketika melalui pelbagai fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, beliau berkata kejayaan vaksinasi akan menjadi penentu kepada pemulihan ekonomi negara, justeru Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan terus dipergiat bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi negara termasuklah permintaan luaran yang lebih baik oleh rakan dagang utama  dan pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi, katanya.

“Faktor penyumbang lain termasuklah asas ekonomi negara yang kekal kukuh walaupun dalam situasi mencabar serta struktur ekonomi yang kukuh dan pelbagai.

“Khususnya, Fitch menyatakan bahawa sektor pembuatan dan eksport Malaysia akan terus memanfaatkan lonjakan permintaan global terhadap produk eksport negara seperti produk elektrik dan elektronik, minyak mentah dan peralatan perlindungan peribadi,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Menteri Kewangan berkata agenda nasional akan tertumpu kepada digitalisasi dan penggunaan teknologi serta menambah baik prospek dan daya tahan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Dalam jangka sederhana, kerajaan berpegang teguh untuk melaksanakan pembaharuan struktur secara berterusan yang akan membolehkan Malaysia menarik pelaburan berkualiti tinggi serta dapat menjana pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata kerajaan kekal komited dalam memastikan kemampanan fiskal negara dan konsolidasi fiskal jangka sederhana.

“Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat yang bertujuan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan asas hasil negara, kerajaan akan dapat meneruskan konsolidasi fiskal setelah negara pulih daripada pandemik ini.

“Ini akan dapat mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi,” katanya.

Dalam tempoh sedekad yang lepas, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus pada 2009 daripada KDNK kepada 3.4 peratus pada 2019.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon