B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pengecualian cukai kenderaan baharu dorong jualan pembuatan Dis 2020 – Ahli ekonomi

Pengecualian cukai kenderaan baharu dorong jualan pembuatan Dis 2020 – Ahli ekonomi

08 Feb 2021

Pengecualian cukai jualan untuk pembelian kenderaan baharu mendorong jualan pembuatan pada Disember 2020 sebanyak 4.5 peratus kepada RM124.6 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2019, demikian menurut ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata kenaikan dalam kelengkapan pengangkutan telah didorong oleh jumlah keseluruhan industri sektor automotif Malaysia yang meningkat 25.5 peratus pada Disember 2020.

“Pengguna segera membeli kenderaan sebelum berakhirnya Disember 2020 ketika pengecualian cukai jualan sepatutnya tamat, namun dilanjutkan sehingga Jun tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini mengumumkan jualan pembuatan mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak Mac 2020, dipacu oleh produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (20.5 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (7.9 peratus) dan produk elektrik dan elektronik (E&E) (4.2 peratus).

Adam berkata produk pembuatan lain yang mengalami pertumbuhan adalah E&E berikutan lonjakan permintaan disebabkan penggunaan yang lebih tinggi bagi alat elektronik seperti telefon pintar dan tablet susulan keeksibelan untuk bekerja dari rumah.

Profesor ekonomi dari Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata kenaikan 4.5 peratus dalam jualan pembuatan adalah konsisten dengan peningkatan indeks pembuatan sebanyak 4.1 peratus dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian yang dilaporkan oleh jabatan itu hari ini.

“Ia adalah isyarat menggalakkan kepada pemulihan sudut penawaran ekonomi, dipacu oleh pembuatan dengan semua kilang telah dibenarkan beroperasi sejak Mei tahun lepas.

“Peningkatan yang stabil bagi permintaan domestik dan luar negara dijangkakan pada tahun ini berikutan penurunan pandemik diharap dapat mengekalkan pertumbuhan satu angka yang tinggi dalam output pembuatan dan jualan pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia Datuk Azman Yusoff berkata, pastinya pengeluar menikmati operasi yang lancar ketika pandemik pada Disember tahun lepas berbanding tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

“Dari segi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ia lebih mudah ketika ini berbanding semasa PKP yang pertama.

“Surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diproses dengan lebih cepat; rantaian bekalan tidak terganggu berikutan industri sokongan diberikan persetujuan menyeluruh; kelengkapan seperti pengimbas suhu, pelitup muka dan pensanitasi adalah lebih murah dan sedia ada ketika ini berbanding sebelumnya,” katanya.

Mengenai unjuran, Adam dan Azman berpendapat pelan pelancaran vaksin kebangsaan pada tahun ini akan meningkatkan lagi sentimen perniagaan.

“Barangkali dengan pelancaran vaksin yang dijangkakan pada akhir Februari 2021, sentimen perniagaan mungkin berubah menjadi lebih cerah dan memberikan rangsangan kepada jualan pembuatan pada 2021,” kata Adam.

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X