B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Nilai jualan pembuatan meningkat 4.5 peratus pada Dis 2020, tertinggi sejak Mac 2020 – Perangkaan

Nilai jualan pembuatan meningkat 4.5 peratus pada Dis 2020, tertinggi sejak Mac 2020 – Perangkaan

08 Feb 2021

Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 4.5 peratus kepada RM124.6 bilion pada Disember 2020 berbanding tempoh yang sama 2019, pertumbuhan tertinggi sejak Mac 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tahun ke tahun yang direkodkan pada bulan Disember 2020 dipacu oleh produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (20.5 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (7.9 peratus) dan produk elektrik dan elektronik (4.2 peratus).

“Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan mengukuh 3.9 peratus daripada Nov, 2020,” katanya dalam satu kenyataan sempena penerbitan perangkaan pembuatan bulanan jabatan itu untuk Disember 2020 hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Disember 2020 adalah seramai 2.19 juta, susut 2.0 peratus berbanding 2.24 juta pada Disember 2019.

Kandungan laporan itu turut menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah sebanyak  RM7,770.7 juta, merosot 0.8 peratus atau RM59.7 juta pada Disember 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Pada masa yang sama, nilai jualan setiap pekerja meningkat 6.7 peratus kepada RM56,644 berbanding bulan yang sama tahun 2019.

“Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,533 pada bulan Disember 2020,” kata beliau.

Secara ringkasnya bagi tahun 2020, Mohd Uzir berkata nilai jualan sektor pembuatan bagi tahun 2020 merekodkan penurunan 2.1 peratus kepada RM1,346.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

“Bilangan pekerja pada tempoh itu berkurangan 2.0 peratus kepada 2,199,195 orang manakala gaji dan upah dibayar mencatatkan penurunan 1.1 peratus kepada RM87.2 bilion.

“Nilai jualan setiap pekerja pada tempoh rujukan menyusut sebanyak 0.2 peratus kepada RM612,324,” jelas beliau.  

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon