Pembukaan semula sempadan negara perkukuh kemampanan pemulihan perniagaan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembukaan semula sempadan negara perkukuh kemampanan pemulihan perniagaan

Pembukaan semula sempadan negara perkukuh kemampanan pemulihan perniagaan

09 Mac 2022

Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) menyifatkan pembukaan semula sempadan negara dengan kaedah selamat dan bertanggungjawab akan dapat “memperkukuh pemulihan perniagaan yang mampan.”

Menurut ACCCIM dalam kenyataan pada Selasa, ia menyambut baik pembukaan semula sempadan negara untuk membantu memulihkan aktiviti ekonomi dan perniagaan domestik termasuk pelancongan, runcit, hotel, restoran dan industri penerbangan.

“Pelancongan merupakan satu daripada sumber pendapatan pertukaran asing Malaysia dengan jumlah terimaan pelancong sebanyak RM86.1 bilion atau 5.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 dan 26.1 juta pelancong.

“Daripada Januari hingga September 2021, jumlah pelancong merosot kepada 73,309 orang dengan terimaan pelancong yang sedikit berjumlah RM123 juta,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.

Beliau turut mengumumkan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan mulai tarikh yang sama, sekali gus membolehkan pemilik premis melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.

Ismail Sabri berkata fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ ini merupakan ‘exit strategy’ (strategi keluar daripada pandemik) untuk membolehkan rakyat Malaysia kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan COVID-19.

Sementara itu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) berkata dengan berakhirnya sekatan seperti kuarantin wajib, matlamat negara bagi pertumbuhan KDNK 5.5 – 6.0 peratus pada 2022 kini menjadi lebih realistik.

“Pembukaan semula sempadan negara akan membantu pemulihan ekonomi kita secara ketara. Ekonomi kita berkembang sederhana pada 3.1 peratus tahun lepas berbanding penurunan 5.6 peratus pada 2020, terutamanya disebabkan sekatan pergerakan yang berlanjutan dan penutupan berterusan sempadan negara kita,” katanya dalam kenyataan berasingan.

SAMENTA berkata sektor pelancongan akan menjadi penerima manfaat terbesar susulan pengumuman hari ini, manakala Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan mendapat kemudahan perdagangan dan perniagaan yang lebih baik.

“Pemulihan PKS kita masih tidak kukuh. Pengumuman hari ini akan membantu menyokong pemulihan ini, namun, lebih banyak bantuan akan diperlukan dari segi automasi dan pembiayaan pra-penghantaran memandangkan produktiviti dan aliran tunai kekal sebagai cabaran utama bagi PKS Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon