B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembukaan semula China beri manfaat besar ekonomi Malaysia

Pembukaan semula China beri manfaat besar ekonomi Malaysia

28 Dis 2022

Pembukaan semula ekonomi China tahun depan dijangka memberi impak positif terutama berkaitan aktiviti pelancongan dan perdagangan Malaysia, demikian kata penganalisis.

Ia berikutan China adalah rakan dagang terbesar Malaysia serta penyumbang tertinggi dari segi ketibaan pelancong ke negara ini.

China mengumumkan kelonggaran pengurusan COVID-19 pada 8 Januari ini dan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) memaklumkan Beijing tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu.

Ekonomi kedua terbesar dan negara paling ramai penduduk di dunia itu juga memansuhkan dasar ‘sifar COVID’ bulan ini berikutan pergolakan dan protes di beberapa bahagian negara itu.

Penganalisis menjangkakan China boleh berdepan kerugian sekurang-kurangnya AS$46 bilion sebulan atau 3.1 peratus daripada KDNK dengan pelaksanaan langkah sekatan dan kawalan ketat bagi membendung penularan COVID-19 di negara itu.

Profesor Adjung Tun Abdul Razak School of Government (TARSOG) Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr Zulkiply Omar, berkata impak secara langsung daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa China sudah pastinya kepada sektor pelancongan negara.

Beliau berkata, sektor yang mempunyai rantaian kukuh dengan pelancongan seperti peruncitan, pengangkutan dan seumpamanya akan meraih manfaat positif itu.

“Ia juga akan memberi manfaat kepada syarikat kecil dan sederhana (PKS),” katanya kepada BH.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga berpendapat pembukaan ekonomi China akan memberi manfaat positif kepada ekonomi Malaysia memandangkan republik itu adalah rakan dagang utama Malaysia.

Beliau berkata, sektor yang akan menerima impak besar ialah elektrik dan elektronik (E&E) serta sektor komoditi seperti gas dan petroleum.

Namun begitu, Ahmed Razman mengingatkan risiko yang bakal timbul daripada kedatangan pelancong China dengan jumlah yang banyak tidak boleh dipandang ringan.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan untuk melihat keperluan dan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam menerima kedatangan pelancong dari China.

Katanya, ia bertujuan bagi mengelakkan berlakunya pandemik baharu yang akan menjejaskan kembali sektor hospitaliti dan pelancongan serta sektor lain.

Sementara itu, KAF Research dalam nota penyelidikannya berkata, kelonggaran sekatan COVID-19 dan rancangan pembukaan semula selanjutnya oleh China tahun depan dijangka menyediakan beberapa potensi peningkatan kepada prospek pertumbuhan ekonomi negara.

Cabang penyelidikan KAF Investment Bank itu berkata, China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dengan menyumbang hampir 17 peratus daripada jumlah perdagangan.

Malah, katanya, China juga penyumbang terbesar dari segi ketibaan pelancong ke Malaysia sebanyak kira-kira 11.9 peratus daripada jumlah ketibaan pada 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19 melanda.

“Kami menjangkakan pelancong China kembali semula sebanyak 30 peratus merujuk kepada tahap prapandemik (3.1 juta pelancong pada 2019), boleh menyumbang resit tambahan RM2.5 bilion kepada industri pelancongan, yang akan memberi peningkatan 0.2 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Namun begitu, KAF Research kekal berhati-hati dengan kebimbangan pembukaan semula di China boleh disertai peningkatan jangkitan COVID-19.

Pasaran saham Asia berada dalam dagangan turun naik tidak menentu pada Rabu memandangkan pelabur mencari arah selepas China mengambil langkah selanjutnya ke arah membuka semula ekonominya yang dilanda COVID-19, dengan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi yang menjejaskan sentimen.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon