B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Duopharma syarikat pertama dapat sijil halal produk onkologi

Duopharma syarikat pertama dapat sijil halal produk onkologi

28 Dis 2022

Duopharma Biotech Bhd (Duopharma) mengukuhkan lagi penguasaannya apabila menjadi syarikat farmaseutikal pertama menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi produk onkologi.

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar, berkata produk onkologi itu pada masa ini diluluskan sebagai rawatan tambahan untuk wanita menopause dengan kanser payudara awal serta rawatan barisan pertama untuk wanita menopause dengan kanser payudara lanjutan.

Beliau berkata, produk itu dihasilkan di kemudahan bahan farmaseutikal aktif (HAPI) Duopharma di Glenmarie, Shah Alam.

Produk onkologi kumpulan itu, katanya ketika ini dibekalkan kepada hospital kerajaan dan swasta di Malaysia serta telah menerima kelulusan untuk dieksport ke Brunei dan Singapura.

“Kumpulan juga sedang berusaha berterusan menyediakan pengguna dan pesakit dengan akses kepada ubat-ubatan dan terapi yang dijamin selamat untuk digunakan dan berkesan, berkualiti tinggi, bersih dan halal.

“Kemudahan HAPI kami yang dilengkapi dengan teknologi baharu memainkan peranan penting dalam memerangi pelbagai penyakit. Ia membolehkan kami menerima inovasi dan teknologi untuk memenuhi keperluan pesakit dan meluaskan akses kepada terapi khusus,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pensijilan halal itu diserahkan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Tuan Bukhari Md Akhir kepada Ketua Pegawai Eksekutif (Komersial) Duopharma, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid.

Leonard Ariff berkata, Duopharma berhasrat untuk menghasilkan rangkaian holistik produk yang selamat, berkesan dan berkualiti serta diperakui halal untuk meningkatkan keterangkuman dalam penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, ia sekali gus membolehkan semua pesakit mempunyai pilihan dalam terapi dan ubat yang mereka perlukan untuk kesejahteraan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon