B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembukaan kilang pemasangan Porsche satu lagi kejayaan bagi Kedah – Raja Muda Kedah

Pembukaan kilang pemasangan Porsche satu lagi kejayaan bagi Kedah – Raja Muda Kedah

28 Mac 2022

Pembukaan kilang pemasangan tempatan untuk Porsche di sini merupakan satu lagi kejayaan bagi Kedah dalam menarik pelaburan asing untuk sektor automotif di negeri ini, titah Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Baginda tertitah, kehadiran syarikat itu dan kewujudan industri lain yang terdapat di Kulim menunjukkan Kedah telah menjadi pilihan kepada pelabur dan ia boleh diperkembangkan lagi.

“Kedah juga adalah hab pemasangan tempatan untuk jenama terkemuka automatif dunia sejak beberapa dekad lalu. Bermula dengan industri pemasangan motosikal di Gurun, Kedah terus berkembang dengan menjadi lokasi pilihan untuk jenama besar seperti BMW, KIA, Mazda dan beberapa jenama lain.

“Potensi dan kebolehan rakyat Kedah sememangnya telah dibentuk serta diperkembangkan dan kini ia  dikenali oleh pemain industri automatif, baik yang dekat mahupun yang jauh,” titah baginda semasa melancarkan ‘Kilang Pemasangan Tempatan untuk Porsche’ di sini hari ini.

Raja Muda bertitah kilang pemasangan itu menandakan titik perubahan dalam trajektori pertumbuhan Kedah dan mewujudkan peluang ekonomi yang besar kepada masyarakat setempat, menghasilkan kesan rama-rama yang akan memberi manfaat kepada negeri ini.

Selain itu, Tengku Sarafudin Badlishah bertitah  pembukaan kemudahan pemasangan baharu tersebut meletakkan Malaysia di dalam peta, dengan pengiktirafan bakat teknikal tempatan, yang pastinya bertaraf dunia pada hari ini.

“Adalah menjadi harapan beta bahawa ini akan menjadi pemangkin kepada peluang potensi lain ketika kita memacu Kedah ke tahap yang lebih tinggi. Ternyata kerjasama antara Sime Darby dan Porsche AG akan memberi kesan yang positif kepada Kedah,” titah baginda.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta pengurusan tertinggi Sime Darby Bhd dan Porsche.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon