B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kilang Porsche di Kulim rangsang industri automotif tempatan

Kilang Porsche di Kulim rangsang industri automotif tempatan

28 Mac 2022

Kilang pemasangan pertama luar Eropah model kereta sport Porsche di Kulim, Kedah berupaya merangsang pertumbuhan perniagaan, selain merancakkan industri automotif tempatan sekali gus merealisasikan hasrat negara menjadi hub automotif serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata ia juga bukan saja akan menyokong pertumbuhan perniagaan kumpulan merentasi rantaian nilai automotif di Malaysia tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Beliau berkata, kerjasama antara Sime Darby dan Porsche AG bagi kilang pemasangan itu juga membuktikan kepercayaan berterusan Porsche terhadap kumpulan dan Malaysia.

“Kemudahan Porsche itu juga akan dikendalikan oleh pasukan tempatan berkemahiran tinggi sepenuhnya yang telah mendapat latihan menyeluruh daripada Porsche.

“Ia juga akan disokong oleh rangkaian pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan di sekitar Kedah, memperkasakan masa depan masyarakat setempat dengan peluang pekerjaan, prospek peningkatan kemahiran dan potensi untuk pengembangan selanjutnya.

“Ini adalah bukti perkongsian yang telah lama terjalin dan dipercayai yang dibina selama lebih sedekad antara Sime Darby dan Porsche,” katanya selepas majlis perasmian Kilang Pemasangan Pertama Porsche di Kulim, Kedah.

Majlis dirasmikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Kilang pemasangan Porsche ini juga adalah sejajar dengan Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, yang bertujuan memajukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan automotif, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mapan.

Sime Darby dan Porsche memilih Malaysia untuk kemudahan pemasangan pertamanya di luar Eropah, menandakan keyakinan syarikat terhadap ekosistem dan kekuatan Malaysia yang kondusif untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka.

Kemudahan pertama pengeluar kereta sport global itu di Kulim ini juga mengiktiraf keupayaan bakat tempatan dan berpotensi membawa mereka memperluaskan jejak di rantau ASEAN.

Kerajaan turut memandang industri automotif sebagai sektor ekonomi yang strategik berdasarkan kerancakan pembangunan rantaian bekalan global serta pengukuhan ekonomi negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata kerajaan akan berusaha untuk membina persekitaran yang kondusif untuk peneraju industri dari luar dan dalam negara menjalankan perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata, ini adalah seiring dengan kesediaan negara untuk menyediakan peluang pekerjaan jangka masa panjang dan berhubung dengan rakan kongsi teknologi yang berkebolehan.

“Dengan reputasi Porsche sebagai pengeluar kereta berprestasi tinggi yang menuntut teknologi terkini dan kejuruteraan baru, perkongsian ini sememangnya strategik kepada usaha kami untuk menggalakkan kebolehan nilai tinggi, teknologi tinggi, pengetahuan, modal dan intensif kemahiran serta pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Ia akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing dan destinasi pelaburan yang menguntungkan,” katanya.

Ahli Lembaga Eksekutif (Jualan dan Pemasaran) Porsche AG, Detlev von Platen, pula berkata kumpulan telah meraih pencapaian baharu, melancarkan pemasangan tempatan yang pertama bagi model Cayenne dan memenuhi impian peminat kereta sport di Malaysia.

Strategi pertumbuhan Porsche juga katanya turut menggariskan kepentingan Malaysia sebagai lokasi utama pengembangannya di rantau ASEAN.

“Ia menunjukkan keyakinan kami terhadap Sime Darby sebagai rakan kongsi yang kukuh,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon