Johor tarik pelabur, majukan ekonomi negeri fasa endemik
28 Mac 2022
Kerajaan negeri akan berusaha menarik lebih ramai pelabur datang ke Johor bagi merancakkan semula sektor ekonomi dalam fasa peralihan ke endemik yang dijangka bermula 1 April ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata antara projek yang dalam proses pembangunan dan mampu menarik pelaburan di negeri ini adalah Sedenak Tech Park (STeP).
“Dalam fasa peralihan ke endemik, Kerajaan Johor bersedia menarik lebih ramai pelabur datang ke Johor dan merancakkan semula sektor ekonomi negeri ini demi kesejahteraan rakyat.
“Hari ini saya melawat STeP untuk meninjau perkembangan pembangunan projek yang dijangka mampu menarik pelaburan, khususnya daripada syarikat berkaitan pengurusan data dan pengkomputeran dari dalam dan luar negara.
“Projek STeP ini juga membuka 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat (IT), satu-satunya sektor yang akan dijadikan katalis pembangunan Johor bakal ditawarkan kepada rakyat Johor,” katanya dalam hantaran di media sosial Facebooknya, hari ini.
STeP dibangunkan TPM Technopark Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Johor Corporation.
Ia mendapat sokongan penuh agensi Kerajaan Pusat dan negeri seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan sebagainya demi menjayakan projek ini.
Sumber: Berita Harian