B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembukaan sempadan cetus peluang kepada ekonomi Malaysia – MIDF Research

Pembukaan sempadan cetus peluang kepada ekonomi Malaysia – MIDF Research

28 Mac 2022

Pembukaan sempada Malaysia menjelang 1 April ini akan memberi manfaat terhadap ekonomi serta harga komoditi, kata MIDF Research hari ini.

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan boleh dipengaruhi secara tidak langsung oleh konflik di Ukraine dan gangguan yang berpanjangan dalam bekalan global selepas China mengenakan semula sekatan pergerakan bagi mengawal penyebaran Covid-19, kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

“Permintaan global yang lebih lemah juga boleh menjejaskan prospek perdagangan disebabkan oleh inflasi yang tinggi,” katanya.

Indeks Utama Malaysia (LI) tidak berubah pada Januari 2022 selepas menokok 2.0 peratus dari tahun ke tahun pada Disember 2021, menunjukkan bahawa momentum pertumbuhan ekonomi akan menyederhana dalam tempoh terdekat.

Dari bulan ke bulan, LI menjunam ke paras terendah dalam tempoh tujuh bulan iaitu sebanyak -1.2 peratus berbanding +0.5 peratus pada Disember 2021, diseret oleh import sebenar semikonduktor serta bahan-bahan lain yang lemah termasuk unit rumah yang diluluskan.

Penambahbaikan dalam keadaan ekonomi semasa di tengah-tengah pengenduran sekatan COVID-19 menyaksikan indeks serentak melaju kepada 5.5 peratus dari tahun ke tahun, menjadi kadar pertumbuhan terpantas sejak Mei 2021, sejajar dengan pembukaan semula ekonomi.

Sementara itu, AmBank Research memberitahu tekanan ke atas inflasi terus meningkat pada 2022, disokong oleh kenaikan kos pengeluar berikutan konflik RusiaUkraine dan sekatan di China – kedua-dua keadaan ini menambah lagi tekanan ke atas rantaian bekalan yang sudah pun terganggu sebelum ini.

“Dengan harga bahan mentah yang lebih tinggi  termasuk kenaikan harga minyak dan gas  serta caj pengangkutan, ianya hanya menunggu masa sebelum kita menyaksikan pengeluar memindahkan beban tersebut kepada pengguna.

“Persoalannya ialah berapa banyak pemindahan harga ini akan berlaku,” katanya.

AmBank Research menegaskan kenaikan kepada tekanan inflasi secara menyeluruh akan bergantung kepada sama ada kerajaan akan terus mengekalkan subsidinya, yang menonjolkan bahawa beberapa barangan baharu seperti gula, mungkin memerlukan bantuan sementara.

Banyak lagi perniagaan masih belum memulih daripada kesan pandemik dan bank itu menjangkakan kos hidup akan naik lebih cepat daripada kelajuan kadar inflasi.

“Inflasi keseluruhan untuk 2022 dijangka menjadi sekitar 2.8 peratus hingga 3.0 peratus, dan sebahagian besar tekanan ke atas akan datang daripada segmen kos berbanding dengan permintaan pengguna.

“Sebarang kenaikan kadar faedah pada masa ini akan menjadi beban kepada perniagaan dan isi rumah, lebih-lebih lagi dengan penamatan moratorium, ditambah pula dengan pemulihan ekonomi yang bersifat tidak menyeluruh,” katanya.

Menyentuh mengenai kadar faedah, AmBank Research menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengamalkan pendirian yang lebih berhati-hati walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat berkemungkinan memperkenalkan peningkatan kadar yang lebih agresif.

Firma penyelidikan itu berkata kenaikan kadar domestik akan lebih cenderung untuk berlaku pada separuh kedua 2022 bagi menangani perbezaan kadar faedah berbanding melihat inflasi secara keseluruhan.

“Jika kecairan ternyata cukup dan risiko memberikan potensi cabaran kepada sistem kewangan, maka ada kemungkinan, kadar dasar semalaman akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas dalam separuh kedua tahun ini,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon