Pembuat automotif, pengawal selia harus bekerjasama bagi jayakan penggunaan kenderaan elektrik - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembuat automotif, pengawal selia harus bekerjasama bagi jayakan penggunaan kenderaan elektrik

Pembuat automotif, pengawal selia harus bekerjasama bagi jayakan penggunaan kenderaan elektrik

16 Jun 2022

Pembuat automotif dan pengawal selia perlu bekerjasama untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Menurut Hexagon Manufacturing Intelligence yang membantu sektor pembuatan perindustrian membangunkan teknologi, dorongan untuk penggunaan EV perlu disokong oleh advokasi industri dan pendidikan yang merangkumi bukan sahaja pembuat automotif tetapi pengawal selia, penggubal dasar dan pengguna.

Pengurus Besar Hexagon Manufacturing Intelligence bagi rantau Asean dan Pasifik, Terrence Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata pembuat automotif, pengawal selia dan peneraju industri berkaitan harus mengadakan perbincangan mengenai cabaran yang mereka hadapi, mengadakan sesi libat urus antara satu sama lain dan bekerjasama untuk berkongsi amalan terbaik industri.

“Perjalanan ke arah elektrifikasi tidak boleh dilakukan secara bersendirian,” kata Lim.

Beliau berkata dengan pasaran EV diunjurkan mencecah jualan global sebanyak AS$34.7 juta menjelang 2030, penganalisis industri menganggarkan menjelang tahun 2040, kereta elektrik akan mengatasi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Jualan EV telah meningkat tiga kali ganda, sebanyak sembilan peratus daripada semua kereta yang dijual adalah elektrik pada 2021 berbanding 2.5 peratus pada 2019, katanya.

Lim berkata di seluruh dunia, jenama terkemuka dalam industri automotif melabur dalam bidang elektrifikasi antaranya ialah Volkswagen dari Jerman, Honda (Jepun) dan Ford (Amerika Syarikat).

Syarikat pemula niaga dan teknologi dari Silicon Valley, United Kingdom dan China sedang menembusi pasaran EV kerana mereka untuk menerima pendigitalan dan keupayaan automasi , katanya.

Menurutnya, ramai yang sanggup menukar kenderaan ICE mereka kepada kereta elektrik atau hibrid, apabila kesedaran tentang perubahan iklim dan kesan alam sekitar semakin meningkat.

Sehubungan itu, persaingan untuk menerima pakai 100 peratus automotif mesra alam sekitar harus dipercepatkan dengan menggunakan perspektif global Hexagon dan pemahaman menyeluruh mengenai pembangunan dan pembuatan automotif untuk menetapkan penanda aras yang lebih tinggi.

“Matlamat kami adalah untuk membantu pengeluar bangkit dalam memenuhi revolusi e-mobiliti, menjadikan peralihan pasaran automotif mesra alam sekitar berkesan dan mencapai matlamat 100 peratus EV dengan lebih cepat.

“Kami menawarkan industri pendekatan bersepadu untuk menambah baik, mempercepatkan dan memudahkan pembangunan EV, teknologi peralihan hibrid dan model tenaga automotif mesra alam sekitar.

“Justeru, apabila mobiliti berkembang untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah hari ini, keupayaan untuk menyesuaikan dan menyampaikan inovasi yang berkaitan dengan cepat, mampan, dengan harga berpatutan dalam cara yang selamat akan menjadi faktor kejayaan yang penting,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon