B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Anggota WTO mesti sama-sama tangani cabaran global, kebangkitan fahaman perlindungan — Azmin

Anggota WTO mesti sama-sama tangani cabaran global, kebangkitan fahaman perlindungan — Azmin

16 Jun 2022

Anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mesti bekerjasama rapat bagi memastikan organisasi antarabangsa itu kekal relevan dan berkesan kerana kerjasama pelbagai hala adalah kunci untuk mengatasi cabaran global dan kebangkitan fahaman perlindungan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata anggota WTO perlu menolak fahaman perlindungan dan memberi tumpuan kepada kerjasama pelbagai hala untuk menangani cabaran.

“Memandangkan COVID-19 masih menular di seluruh dunia, persekitaran perdagangan global yang ada fahaman perlindungan akan memudaratkan kemakmuran ekonomi dunia, terutamanya kepada negara membangun, apatah lagi negara kurang maju,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian semasa Persidangan Peringkat Menteri Ke-12 (MC12) WTO hari ini.

Menteri kanan itu turut menegaskan sokongan berterusan dan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, menegakkan prinsip ketelusan dan tanpa diskriminasi yang menjadi asas utama WTO.

Beliau juga menyatakan sokongan Malaysia terhadap Deklarasi Menteri mengenai Respons WTO terhadap Pandemik COVID-19 dan Kesediaan untuk Pandemik Masa Depan.

Mohamed Azmin menekankan agar semua Anggota WTO bersatu dan bertindak dalam satu suara untuk menarik balik sekatan dan pengehadan dalam pelaksanaan Perjanjian mengenai Aspek Berkaitan Hak-hak Harta Intelek (TRIPS), selain langkah-langkah memudahkan perdagangan bagi memastikan pengagihan vaksin dan terapeutik yang saksama dan pantas untuk menyelamatkan nyawa manusia.

Mengenai peranan WTO dalam menangani krisis makanan global, beliau menyeru Anggota WTO untuk membuat kemajuan yang utuh ke arah mencapai sistem perdagangan pertanian yang adil dan berorientasikan pasaran, dengan matlamat akhir untuk menamatkan kelaparan, mencapai keselamatan makanan dan pemakanan yang lebih baik.

Beliau juga berkata sebarang langkah kecemasan untuk menangani kebimbangan keselamatan makanan negara harus bersifat sementara, disasarkan, berkadar, dan tidak memudaratkan perdagangan.

Dalam hal ini, Mohamed Azmin turut mengesahkan sokongan Malaysia terhadap draf Deklarasi WTO mengenai Perdagangan dan Keselamatan Makanan, serta draf Keputusan WTO mengenai Pengecualian Pembelian Makanan Program Makanan Dunia daripada Larangan atau Sekatan Eksport untuk tujuan kemanusiaan bukan komersial.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon