B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ECERDC cuba tarik pelaburan Jerman dalam industri RV di ECER

ECERDC cuba tarik pelaburan Jerman dalam industri RV di ECER

16 Jun 2022

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sedang berusaha mendapatkan pelaburan daripada syarikat pembuatan kenderaan rekreasi (RV) Jerman yang terkemuka di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). 

Berikutan peningkatan permintaan bagi opsyen yang lebih selamat bagi melancong serta lebih mesra alam semasa pandemik selain bertambahnya angka peminat RV di seluruh dunia, ECERDC telah mengambil langkah untuk menarik pemain industri RV luar negara meneroka peluang pelaburan dan perniagaan di ECER.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Baidzawi Che Mat dalam satu kenyataan berkata inisiatif ECERDC ini telah berjalan selama lebih dari setahun, dan menjelang Februari, pemain industri RV telah menerima jemputan ECERDC untuk datang ke Malaysia, khususnya ECER. 

“Susulan lawatan itu, delegasi ECERDC berada di Jerman bagi bertemu dengan pelabur berpotensi yang mahu membina dan menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan karavan serta ‘motorhome’, yang juga membabitkan lawatan ke kilang pembuatan mereka.

“ECERDC sedang bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam mencari pelaburan, yang mana, prospeknya kelihatan cerah,” katanya. 

Sementara itu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani hari ini antara ECERDC dan Caravaning Industrie Verband e.V. (CIVD), yang mewakili pemain industri RV Jerman, untuk bekerjasama dan menerajui pembangunan RV di ECER. 

Ini adalah lanjutan kepada perjanjian ketakdedahan (NDA) yang ditandatangani pada April 2022.

Baidzawi ketika mengulas mengenai MoU itu berkata ia akan membolehkan ECERDC memanfaatkan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman CIVD dalam industri RV bagi membangunkan garis panduan eko-sistem industri RV ECER, amalan terbaik serta mengenal pasti dan memperkenalkan rakan industri strategik atau pelabur berpotensi untuk pembuatan RV di ECER.

“Ia akan membantu inisiatif kami dalam mewujudkan ECER sebagai hab pembuatan kenderaan RV dan meletakkan Malaysia dalam peta untuk peminat RV di seluruh rantau ini. 

“Kerjasama kami adalah satu pencapaian penting dan kami berharap untuk mendapatkan pelaburan langsung asing yang setakat ini telah menarik minat dua pengeluar dan pembekal RV yang terkenal,” katanya.

Dalam satu perkembangan lain, EDERDC berkata delegasi Malaysia juga bertemu dengan wakil daripada Mercedes Benz AG untuk membincangkan potensi kerjasama dengan pengeluar RV termasuk dengan salah satu operator taman RV yang terkemuka di Jerman bagi meneroka kemungkinan usaha sama membangunkan taman RV bertaraf dunia pertama di Malaysia.

“Potensi industri RV tidak hanya melangkaui pelaburan ke dalam sektor pembuatan atau pekerjaan yang berkaitan dengannya tetapi juga akan memacu pengembangan ekonomi tempatan yang belum diterokai dalam industri pelancongan. 

“Malaysia, terutamanya Pantai Timur, mempunyai banyak destinasi pelancongan dan ECERDC telah mengenal pasti beberapa lokasi yang boleh dijadikan taman RV yang berpotensi di rantau ini,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X