B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembangunan ekonomi Pahang Barat Plus antara tumpuan JBI-Pahang

Pembangunan ekonomi Pahang Barat Plus antara tumpuan JBI-Pahang

09 Ogo 2022

Pembangunan ekonomi di Pahang Barat Plus yang melibatkan daerah Lipis, Raub, Jerantut dan Bera menjadi antara tumpuan Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Perindustrian (JBI) antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  (MITI) serta kerajaan Pahang.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata antara usaha membangunkan ekonomi dan menarik pelabur ke daerah terlibat ialah menerusi kewujudan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus yang akan memberi tumpuan kepada lima kluster termasuk pelancongan, pertanian, perkayuan dan perkhidmatan, secara langsung akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.  

“Kewujudkan kluster wilayah ekonomi baru di Pahang Barat juga selari dengan dasar pelaburan negara kerana kita mahu mengimbangi pembangunan ekonomi di seluruh Pahang dan tidak hanya tertumpu pada satu kawasan sahaja, dengan mengenal pasti projek yang sesuai dibawa ke daerah terlibat. 

“Kita juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melihat insentif tertentu untuk menarik pelaburan di samping menyediakan suatu jumlah peruntukan pembangunan yang lebih saksama untuk memastikan infrastruktur di industrial park di Pahang dapat dinaik taraf untuk menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JBI bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini hari ini, yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Lokman Hakim Ali dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Mengulas sektor pertanian di Pahang Barat Plus, Mohamed Azmin berkata antara yang sesuai dilaksanakan ialah pertanian berteknologi tinggi yang merupakan aspek penting dalam menjamin sekuriti makanan dan Pahang sebagai negeri yang besar, mampu menyumbang ke arah isu tersebut. 

Selain pembangunan Pahang Barat Plus, Mohamed Azmin berkata tumpuan juga diberikan kepada perkembangan pembangunan serta pengukuhan industri halal di Pahang dengan negeri ini sedia mempunyai Taman Halal di Gambang di sini, yang berpotensi besar untuk dimajukan dengan lebih baik. 

“Fokus kita (dalam industri halal) bukan hanya diberikan kepada sektor makanan dan minuman tetapi juga harus dilihat dalam pelbagai sektor yang lebih meluas seperti farmaseutikal, kosmetik dan logistik yang berpotensi tinggi,” katanya. 

Mohamed Azmin juga berkata  berkata walaupun kerajaan Pahang telah berjaya menarik pelaburan RM20.5 bilion setakat 31 Julai lepas dengan melepasi sasaran RM18 bilion untuk tahun ini, namun potensi bagi menambah lebih banyak pelaburan sentiasa ada, kerana Pahang menjadi antara negeri terbaik dalam memudahcarakan proses kelulusan kepada pelabur. 

Selain itu, Pahang turut memahami kepentingan aspek kesalinghubungan yang merupakan antara aspek penting menarik pelabur, yang kini berjalan baik dengan pelaksanaan projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembangunan jajaran lebuh raya dan terkini pembangunan bandar aeroangkasa di Gebeng di sini. 

Sementara itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri tidak mahu Pahang Barat berterusan ketinggalan dalam aspek ekonomi, ekoran fokus sebelum ini banyak tertumpu di Pahang Timur menjadikan pihaknya telah menilai potensi ekonomi yang boleh diketengahkan ke daerah-daerah terlibat. 

“Sebagai contoh, apabila sebuah syarikat penternakan berhasrat melabur, kita ‘tarik’ daripada cadangan di Rompin untuk dibawa projek itu ke Raub dengan kita menyediakan tanah. Ini antara insentif yang dapat kita usahakan untuk membangunkan daerah Pahang Barat. 

“Selain itu, kita juga percepatkan proses mereka seperti permohonan tanah. Jika dibuat menerusi pejabat tanah pelbagai prosedur perlu dipatuhi, namun kita boleh terus majukan kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan dan bila dipersetujui, ia boleh dibawa ke mesyuarat kerajaan negeri untuk diputuskan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon