B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan RM8.5 bilion AT&S bukti Malaysia terus jadi pilihan pelabur – Azmin

Pelaburan RM8.5 bilion AT&S bukti Malaysia terus jadi pilihan pelabur – Azmin

30 Okt 2021

Keputusan firma global AT&S memilih Malaysia sebagai lokasi pembinaan fasiliti pembuatan pertamanya di Asia Tenggara dengan pelaburan bernilai RM8.5 bilion, membuktikan negara ini terus menjadi destinasi pilihan utama pelabur asing bagi mengembangkan perniagaan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelaburan oleh peneraju pembuatan papan litar bercetak dan substrat litar bersepadu global berpangkalan di Austria itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan sebagaimana digariskan dalam Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“Kita tetapkan dalam NIA untuk menarik pelaburan-pelaburan berteknologi tinggi dan berkualiti agar dapat mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk tenaga kerja tempatan.

“Ini terbukti apabila AT&S mengambil keputusan untuk datang ke Kedah yang akan mewujudkan sebanyak 1,500 pekerjaan dalam kalangan jurutera dan 4,500 pekerjaan melibatkan pekerja kolar biru.

“Lebih 6,000 anak tempatan akan mendapat pekerjaan menerusi pembinaan kemudahan AT&S di sini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Mohamed Azmin bersama Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor merasmikan majlis pecah tanah fasiliti pembuatan AT&S di Kulim HiTechnology Park, di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman.

Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin turut menekankan kepentingan untuk memastikan Malaysia terus kekal kompetitif selain berupaya memperkenalkan dasar serta agenda bagi menarik minat pelabur asing.

Atas dasar itu, katanya, kerajaan telah menggariskan inisiatif-inisiatif baharu sepertimana diumumkan dalam Bajet 2022 semalam selain Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sebelum yang seiringan dengan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Inilah yang sedang kita lakukan. Malaysia juga berada dalam kedudukan strategik selain menjadi anggota penting dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dapat menjamin pasaran-pasaran baharu bukan sahaja di rantau ini tetapi dalam kalangan negara anggota RCEP,” katanya.

Beliau berkata, pelabur asing tidak hanya mengutamakan aspek insentif fiskal ditawarkan kerajaan sebelum membuat pelaburan di negara ini, tetapi turut melihat secepat mana keputusan kerajaan atau pihak berkuasa berkaitan kelulusan pelaburan tersebut.

“Kalau kita lihat dalam laporan-laporan ‘the ease of doing business’ (kemudahan menjalankan perniagaan), Malaysia telah mencatatkan prestasi baik yang mana kita mempermudah pelabur asing untuk ke Malaysia dan membuat keputusan yang cepat.

“Pelaburan AT&S ini misalnya adalah satu rekod dan telah diusahakan oleh MIDA dalam tempoh 12 bulan bagi membuahkan hasil menerusi usaha inisiatif E10 (Permit Pembinaan Ekspres) untuk mempercepat kelulusan di semua peringkat sama ada (Kerajaan) Persekutuan, negeri atau pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin berkata inisiatif E10 tersebut akan diteruskan dan dijadikan sebagai penanda aras baharu dalam MIDA bagi memastikan semua permohonan pelaburan dapat dipercepat dan membantu memperkukuh keyakinan pelabur asing untuk ke Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon