B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Bajet 2022: Insentif pemilikan kenderaan EV buka peluang pelaburan hijau baharu

Bajet 2022: Insentif pemilikan kenderaan EV buka peluang pelaburan hijau baharu

30 Okt 2021

Insentif pemilikan kenderaan elektrik (EV) yang diumumkan dalam Bajet 2022 akan menyokong pembangunan ekosistem kenderaan EV dan membuka lebih banyak peluang pelaburan hijau baharu, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata insentif berkaitan kenderaan EV itu juga akan menyokong pembangunan teknologi hijau dan rendah karbon serta pekerjaan hijau berkemahiran tinggi di Malaysia.

“Insentif kenderaan EV dilihat mampu menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) serta membantu meningkatkan indeks kualiti udara negara,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai Bajet 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan EV bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan.

Tengku Zafrul berkata pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan EV, di samping pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian, dan pemasangan; sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Menyifatkan Bajet 2022 memberi penekanan yang signifikan kepada aspek menjamin pelestarian alam sekitar dan air negara, Tuan Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan yang mencadangkan peruntukan sejumlah RM4.172 bilion untuk melestarikan alam sekitar dan air kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Tuan Ibrahim berkata KASA akan meneruskan projek-projek pemuliharaan dan mitigasi banjir di seluruh negara dan mengalu-alukan inisiatif khusus menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka.

Kerajaan menyediakan RM450 juta dalam Bajet 2022 kepada pelbagai kementerian untuk melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan alam sekitar dan biodiversiti, antaranya projek pemeliharaan alam serta projek pemuliharaan alam menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata KASA sedang menyusun semula proses pelaksanaan projek dari peringkat perancangan sehingga pengeluaran surat setuju terima (SST) bagi memastikan projek dapat dilaksanakan serta-merta di masa akan datang.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon