B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan dalam sektor strategik baharu mampu lonjak ekonomi Malaysia

Pelaburan dalam sektor strategik baharu mampu lonjak ekonomi Malaysia

17 Nov 2021

Malaysia mampu membina semula kekuatan dan melonjakkan ekonomi negara menjadi lebih baik sekiranya sektor strategik baharu dapat diteroka dalam kalangan pelabur asing seterusnya menjadikannya sebagai rantaian bekalan global.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata antara sektor strategik baharu yang boleh dibangunkan dengan lebih erat ialah ekonomi digital, kesihatan awam dari segi penyelidikan penyediaan pandemik masa depan, peralatan perubatan, perubatan, kelestarian alam sekitar serta pertahanan dan keselamatan. 

“Saya melihat lebih banyak ruang dan peluang untuk syarikat dari negara seperti United Kingdom (UK) untuk masuk dan melabur di Malaysia bukan sahaja dalam sektor yang sudah dipelopori tetapi juga sektor strategik yang baharu.

“Ini juga selari dengan perbincangan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam misi perdagangan beliau ke UK pada Oktober lepas apabila beliau telah memaklumkan hasrat syarikat dari UK untuk melabur sebanyak RM800 juta di Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas bersama British Malaysia Chamber of Commerce (BMCC) di sini, hari ini. 

Katanya dalam MPN menyusun strategi untuk memastikan pemulihan negara didorong oleh pertumbuhan, pelaburan termasuk pelaburan langsung asing (FDI) itu penting untuk memastikan sektor strategik ekonomi negara seperti sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan dapat terus berkembang.

“Ia juga bagi menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan untuk lebih ramai rakyat Malaysia. Dalam bergerak ke hadapan, proses pemulihan negara kita perlu terus berusaha meyakinkan pelabur mengenai prospek ekonomi Malaysia,” katanya. 

Mengenai pertemuan khas yang berlangsung selama kira-kira dua jam itu, Muhyiddin berkata perbincangan seperti ini amat penting untuk mendengar buah fikiran dan bertukar pendapat dengan pemain industri termasuk syarikat antarabangsa yang telah melabur di Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk sektor pembuatan, perkilangan, petroleum, pertahanan, kewangan dan kesihatan.

“Ramai wakil daripada syarikat-syarikat besar dari UK yang hadir pada pagi ini membuktikan bahawa mereka berminat untuk mengetahui mengenai perkembangan proses pemulihan negara dan yakin bahawa prospek ekonomi Malaysia ke hadapan itu adalah cerah.

“Banyak perkara telah dikemukakan kepada saya dan saya telah minta BMCC untuk mengemukakan laporan dan cadangan. Saya akan memberikan ruang untuk mereka bentang dalam Majlis Pemulihan Ekonomi dan mungkin ada perkara yang boleh kita berikan perhatian dan laksanakan,” katanya. 

Antara cadangan yang dikemukakan BMCC termasuklah insentif pelaburan, bantuan kos perniagaan, menyegerakan proses pengambilan pegawai dagang dalam sektor minyak dan gas. 

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata hubungan dagang antara Malaysia dan UK adalah satu hubungan strategik yang penting untuk kedua-dua negara. 

“Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar UK dalam kalangan negara-negara ASEAN. Sebelum pandemik pada 2019, nilai FDI dari UK ke Malaysia adalah sebanyak £3.7 bilion tetapi pada 2020, UK tidak berada dalam senarai Top 10 FDI ke Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada peningkatan kes harian dan COVID-19 menjejaskan proses pemulihan negara, beliau berkata setakat ini, ia tidak memberi kesan kepada proses pemulihan.

“Memang ada peningkatan kes harian tetapi ini kategori satu, dua dan tiga… yang serius tidak begitu besar. 

“Namun, ini juga perkara penting untuk diambil perhatian supaya kita tidak lupa untuk patuh kepada prosedur operasi standard termasuk penjarakan fizikal,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X