B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan tubuh Majlis Ekonomi Digital dan Dasar 4IR Negeri bagi harmonikan pelan pembangunan digital

Kerajaan tubuh Majlis Ekonomi Digital dan Dasar 4IR Negeri bagi harmonikan pelan pembangunan digital

17 Nov 2021

Kerajaan akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negeri untuk mengharmonikan pelan pembangunan digital di peringkat pusat dan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata majlis tersebut berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara.

Beliau berkata penubuhan majlis itu telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Okt, 2021.

Majlis ini juga akan memastikan kualiti ketersambungan digital dan akses kepada internet berada pada tahap yang terbaik untuk manfaat rakyat.

“Pendigitalan amat penting untuk pemulihan ekonomi akibat COVID-19 dan kemampanan ekonomi. Majlis Ekonomi Digital dan Dasar 4IR Negeri amat penting untuk pusat dan negeri dapat bergerak seiring mencapai sasaran Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya beliau yang akan mempengerusikan majlis tersebut dan dianggotai oleh exco-exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam portfolio digital akan mengadakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat.

Beliau berkata majlis itu akan turut menjadi platform untuk berkongsi idea dan pengalaman mengenai pembangunan digital di negeri masing-masing kerana ada di antaranya telah mempunyai perancangan yang teliti untuk masa depan.

Dalam pada itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengadakan siri jerayawara RMK-12 bersama kerajaan negeri Perak hari ini untuk menghebahkan dasar, strategi dan inisiatif RMK12 kepada semua pihak berkepentingan di peringkat negeri.

EPU telah mengadakan 11 siri jerayawara bersama kerajaan negeri termasuk bersama kerajaan negeri Perak dan satu sesi libat urus bersama ahli akademik, kumpulan pemikir dan wakil industri.

Mustapa berkata infrastruktur digital di Perak sedang ditambah baik melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan bermula tahun 2020 hingga 2022.

Sehingga suku keempat 2021, JENDELA di negeri tersebut telah membina 176 buah menara baharu bagi memperluas liputan 4G dan sehingga kini, sebanyak 46 menara baharu telah siap dibina.

Selain itu, menaik taraf 1,882 stesen pemancar untuk liputan 4G dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,596 stesen telah dinaik taraf.

Sebanyak 252,475 premis akan menerima capaian gentian optik dan sebanyak 107,944 premis telah menerima capaian gentian optik manakala 73 buah perkampungan Orang Asli sedang dalam pelaksanaan untuk menerima liputan jalur lebar satelit tanpa wayar.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon