B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan berkualiti tinggi tambah baik gaji minimum

Pelaburan berkualiti tinggi tambah baik gaji minimum

31 Mac 2022

Perniagaan di Malaysia perlu menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi bagi memastikan penambahbaikan dalam gaji minimum dapat dikekalkan, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, daripada segi struktur, pekerja Malaysia mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih rendah yang menyebabkan gaji lebih rendah berbanding dengan peningkatan produktiviti.

“Gaji minimum adalah dasar penting untuk memastikan pekerja mempunyai keperluan untuk membeli barangan keperluan di negara ini, justeru kita perlu beralih ke arah meningkatkan pendapatan secara mampan yang memerlukan pelaksanaan reformasi struktur,” katanya semasa webinar Perbincangan Panel dan Ucapan Gabenor BNM 2022, hari ini.

Beliau berkata, gaji di Malaysia kekal di bawah nilai produktif sebenar dan pekerja cenderung menerima bahagian yang lebih rendah daripada pendapatan negara.

“Oleh itu, penambahbaikan dalam pasaran buruh dijangka menyokong perbelanjaan isi rumah dengan penambahbaikan akan berlaku secara berterusan dalam pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan,” katanya.

Beliau menekankan keperluan untuk mengenakan levi pelbagai peringkat sebagai alat berasaskan pasaran untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing bergaji rendah dan mempertingkatkan dasar pasaran buruh aktif (ALMP) adalah penting untuk memastikan kemampanan peningkatan gaji.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Socio Economic Research Centre, Lee Heng Guie, berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan industri dalam menangani isu yang timbul daripada kenaikan mendadak dalam gaji minimum sebelum pelaksanaannya pada bulan Mei.

“Kita harus mempertimbangkan dengan mendalam bahawa dunia berada dalam fasa pasca pandemik dan pemulihan masih lagi tidak sekata. Tidak semua sektor pulih pada kadar yang sama ditambah dengan pelbagai cabaran yang timbul,” katanya.

Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dan ia akan dilaksanakan di seluruh negara untuk syarikat tertentu berkuat kuasa 1 Mei 2022.

Kali terakhir gaji bulanan minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, apabila ia naik sebanyak RM100 kepada RM1,200.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon