B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan tidak eksport tenaga boleh baharu – Takiyuddin

Kerajaan tidak eksport tenaga boleh baharu – Takiyuddin

31 Mac 2022

Kerajaan tidak mengeksport tenaga boleh baharu (TBB) yang dihasilkan sebaliknya digunakan untuk menarik kedatangan lebih ramai pelabur ke negara ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata TBB berkenaan menjadi rebutan kebanyakan pelabur luar negara, khususnya yang memilih untuk mengaplikasikan teknologi hijau dalam pengoperasian industri atau pelaburan yang dilakukan.

“Selain arang batu dan diesel, TBB yang terdapat di negara ini antaranya ialah hidrogen, solar dan gas. TBB berkenaan menjadi antara pilihan pelabur dan ia merupakan antara kelebihan yang terdapat di negara ini.

“Sehingga kini, penggunaan TBB telah mencapai 25 peratus berbanding sasaran kapasiti TBB yang telah ditetapkan sebanyak 31 peratus menjelang 2025,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Stesen Janakuasa Edra Melaka di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Pengerusi Edra Power Holdings Sdn Bhd Dai Honggang.

Takiyuddin berkata kerajaan juga menitikberatkan elemen keselamatan, mampu milik dan kelestarian yang menjadi tunggak dalam perancangan penjanaan elektrik yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

“Selain itu, kerajaan juga komited untuk mengurangkan 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah kaca di bawah Perjanjian Paris menjelang 2030 dan aspirasi kerajaan adalah untuk mencapai pelepasan gas bersih sifar menjelang 2050,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penjanaan elektrik daripada sumber penjanaan yang lebih bersih akan dilaksanakan melalui pengoperasian beberapa stesen jana kuasa turbin gas kitaran seperti Edra Melaka Power Plant (EMPP) serta beberapa projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh Semenanjung yang akan dibangunkan secara berperingkat.

Katanya, kapasiti baharu yang akan ditawarkan secara bidaan kompetitif akan menghasilkan kos penjanaan yang optima dan akhirnya dapat menawarkan kadar tarif berpatutan kepada pengguna.

Terdahulu, beliau berkata EMPP merupakan antara projek utama yang tersenarai dalam Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Semenanjung bagi 2021 hingga 2039, bertujuan memenuhi keperluan tenaga negara yang selamat, bersih dan terjamin.

“Kejayaan EMPP mencapai tarikh operasi komersial ini adalah tepat pada masanya, lebih-lebih lagi ketika ini ekonomi Malaysia sedang dalam proses pemulihan berikutan pandemik COVID-19, sekali gus memperkukuh kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung serta membantu merangsang pembangunan ekonomi negara.

“Ia turut menandakan kesediaan dan keyakinan para pelabur dari dalam dan luar negara terhadap kemudahan dan infrastruktur asas di Malaysia yang kukuh serta berdaya saing,” katanya.

EMPP berupaya menyalurkan sebanyak 2,242 megawatt bekalan elektrik kepada sistem grid nasional justeru meletakkan Melaka khususnya dan Malaysia amnya, sebagai pangkalan stesen jana kuasa terbesar di Asia Tenggara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon