B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pulau Pinang lancar Program Subsidi Latihan Industri untuk cari, kekalkan bakat

Pulau Pinang lancar Program Subsidi Latihan Industri untuk cari, kekalkan bakat

31 Mac 2022

Kerajaan Pulau Pinang melancarkan Program Subsidi Latihan Industri Pulau Pinang (PISP) untuk mencari dan mengekalkan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan perakaunan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang beraspirasi untuk menarik 150,000 pekerja berasaskan pengetahuan dalam tempoh lima tahun akan datang dan PISP diperkenalkan bagi membuka peluang kerjaya kepada individu berbakat sekali gus mereka akan menikmati keseimbangan hidup-kerjaya-hibur.

“Berlandaskan misi untuk meningkatkan lagi usaha negeri menarik kemasukan bakat dalam jumlah yang besar, PISP menawarkan subsidi upah bulanan RM300 bagi setiap pelatih industri untuk tempoh maksimum enam bulan apabila syarikat melatih bakat sepanjang 2022.

“Dalam kata lain, syarikat yang layak boleh menuntut keseluruhan sehingga RM1,800 bagi seorang pelatih industri,” katanya ketika sidang media secara maya pada pelancaran rasmi PISP di sini, pada Khamis.

Beliau berkata PISP terbuka kepada semua syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai operasi di Pulau Pinang.

Chow berkata syarikat perlu mengambil sekurang-kurangnya tiga orang pelatih industri dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan perakaunan.

“Selain itu, pengambilan mesti diselesaikan pada 2022, dengan elaun bulanan minimum RM1,200 bagi seorang pelatih industri,” katanya.

Beliau berkata baru-baru ini Pulau Pinang mengumumkan prestasi pelaburan pembuatan bagi 2021 yang patut dipuji apabila mencatatkan aliran masuk pelaburan tinggi iaitu RM76.2 bilion, menurut data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Trend peningkatan nilai pelaburan bagi setiap pekerjaan yang diwujudkan menandakan Pulau Pinang sentiasa menarik pelaburan bernilai tambah tinggi,  yang menjadi petanda baik buat pencari kerja untuk memperoleh pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Saya berharap PISP dapat berfungsi sebagai pintu masuk bakat kepada banyak peluang di Pulau Pinang yang menunggu untuk diraih.

“Kepada semua bakat, datanglah ke Pulau Pinang dan alami apa yang negeri ini akan tawarkan sebagai ‘Lembah Silikon Timur’,” katanya.

Beliau berharap semua syarikat tempatan akan memanfaatkan peluang ini dengan memohon PISP sekali gus menarik golongan bakat ke Pulau Pinang.

Permohonan PISP kini boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web Pusat Bantuan Kerjaya dan Bakat (CAT) Pulau Pinang di https://www.penangcatcentre.my/ dan tarikh tutup pada 31 Dis, 2022.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon