B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan AS di negara-negara Asia Tenggara bantu tingkat interaksi ekonomi – penganalisis

Pelaburan AS di negara-negara Asia Tenggara bantu tingkat interaksi ekonomi – penganalisis

11 Mei 2022

Pelaburan dan perdagangan Amerika Syarikat (AS) di negara-negara Asia Tenggara akan membantu meningkatkan interaksi ekonomi di rantau ini, kata felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun. 

Beliau berkata banyak negara di negara Asia Tenggara berhasrat untuk mendapatkan pelaburan AS semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS, terutamanya selepas bergelut dengan impak daripada pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas. 

“Jika AS cuba untuk menjadikan kita (negara-negara Asia Tenggara) menjadi lebih pro-AS, maka saya fikir lebih banyak pelaburan dengan rantau ini akan menjadi satu langkah yang baik,” katanya semasa program berita ‘The Brief’ Bernama TV, hari ini. 

Oh berkata sidang kemuncak itu yang dijadual bermula pada Jumaat (waktu Malaysia) dijangka membincangkan mengenai hubungan China-AS dan ketegangan geopolitik antara Rusia dan Ukraine.

Beliau juga berpandangan bahawa AS dijangka menggesa rantau ini untuk mengambil pendekatan lebih tegas terhadap Rusia berhubung perang di Ukraine. 

Para pemimpin ASEAN, kecuali Filipina dan Myanmar, dijadual menyertai sidang kemuncak khas tersebut. 

Satu Pernyataan Visi Bersama — yang akan menggariskan komitmen dan aspirasi untuk meningkatkan perkongsian ASEAN-AS bagi keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bersama untuk semua – dijangka dikeluarkan selepas berakhirnya mesyuarat peringkat tinggi itu.

Sidang kemuncak khas itu merupakan ulang tahun ke-45 dialog ASEAN-AS dan sidang kemuncak khas kedua yang dihoskan oleh presiden AS di negara tersebut selepas presiden ketika itu Barack Obama mengalu-alukan kedatangan para pemimpin ASEAN di California pada Feb 2016.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington D.C. dari 12 -13 Mei 2022.

Malaysia dijangka meraih pelaburan baharu bernilai RM14.62 bilion dari AS susulan Misi Perdagangan dan Pelaburan yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke negara itu dari 9-18 Mei, 2022.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon