B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Azmin bertemu pegawai kanan firma AS

Azmin bertemu pegawai kanan firma AS

11 Mei 2022

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan firma Amerika Syarikat (AS), Lovesac dan Indium Corporation yang menjadi sebahagian daripada misi perdagangan dan pelaburan kementerian ke negara itu bermula Ahad lalu.

Lovesac adalah syarikat perabot sofa, manakala Indium Corporation adalah syarikat global AS dengan kepakaran dalam pembuatan dan reka bentuk pes pateri serta bahan terma haba elektronik bagi penggunaan cip elektrikal dan elektronik.

Mohamed Azmin berkata, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lovesac, Shawn Nelson menyuarakan rasa penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) kerana membantu menemukan pembekal bingkai upholsteri kayu yang tepat dari Perak.

“Usaha proaktif itu membuahkan hasil yang baik untuk Lovesac dan industri perabot tempatan di Malaysia.

“Lovesac yang menyasarkan untuk melonjakkan nilai penyumberan daripada AS$20 juta kepada lebih AS$50 juta, turut komited bukan saja bagi mendapatkan bingkai kayu, tetapi juga produk elektronik untuk perabot mereka seperti hab tenaga dari sebuah syarikat di Pulau Pinang,” katanya dalam ciapan terbarunya di akaun Twitter.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Indium Corporation pula memberi komitmen untuk membuka kilang pembuatan baharu bagi pes pateri dan mempertimbang bagi mewujudkan pusat latihan serta makmal inovasi penyelidikan dan pembangunan di Malaysia.

Katanya, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Indium, Ross Berntson juga menyifatkan legasi kewujudan Indium yang menjalankan perniagaan lebih 40 tahun di Malaysia juga berasaskan ekosistem rantaian bekalan negara ini yang kukuh bagi industri elektronik.

“Ini satu pencapaian besar memandangkan pengembangan Indium satu peningkatan dalam rantaian nilai. Ia juga jelas membuktikan aspirasi kita untuk menjadi sebuah ekonomi yang dipacu inovasi akan melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan bagi rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, keputusan memilih Malaysia sebagai destinasi kemudahan pembuatan terbaru Indium di Pulau Pinang juga dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan syarikat menguruskan rantaian bekalan terbabit.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon