B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Scomi SGSB, Skill Johor bangunkan tenaga boleh diperbaharui di kampus TVET di Johor

Scomi SGSB, Skill Johor bangunkan tenaga boleh diperbaharui di kampus TVET di Johor

10 Mei 2022

Syarikat usaha sama Scomi Group Bhd (SGB) Scomi SGSB Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Skill Johor Sdn Bhd (SJSB) untuk membangunkan program penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Kampus TVET SJSB di Johor.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, SGB berkata Scomi SGSB akan menyediakan pemasangan, ujian dan pentauliahan sistem solar fotovolta (PV).

“Scomi SGSB telah menjalankan beberapa lawatan tapak dan penilaian teknikal, dan telah menentukan bahawa sistem solar PV memberikan penyelesaian terbaik untuk menjana RE, sambil mengurangkan peningkatan kos tenaga kampus dalam tempoh 21 tahun dan kampus mempunyai kapasiti yang berpotensi untuk menyediakan sehingga 4 megawatt puncak (MWp),” katanya.

Ia berkata kedua-dua Scomi SGSB dan SJSB akan bekerjasama untuk pelaksanaan cadangan itu yang merangkumi pelaksanaan fasa satu sistem solar PV atas bumbung dengan kapasiti 1.18MWp dan diikuti dengan pembangunan 3MWp tambahan selepas kejayaan pelaksanaan fasa satu.

“Pemasangan sistem solar PV hanya boleh dimulakan sebaik sahaja kampus itu beroperasi yang dijadualkan antara suku keempat 2023 hingga suku pertama 2024,” katanya.

Kumpulan itu juga berkata bahawa kerjasama itu akan dimulakan dari tarikh MOU selama 24 bulan tertakluk kepada sebarang tempoh lanjutan yang dipersetujui bersama.

“MOU itu tidak mempunyai kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang utama bagi SGB dan tidak dijangka mempunyai kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan tahap kadar hutang SGB untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon