B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PDZ, Protev meterai MoU bagi tembusi pasaran sarung tangan getah di EU

PDZ, Protev meterai MoU bagi tembusi pasaran sarung tangan getah di EU

15 Nov 2021

PDZ Holdings Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Protev Asia Limited (Protev) untuk menembusi segmen sarung tangan getah hospital dan tentera di Kesatuan Eropah (EU).

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PDZ Datuk Christopher Tan Chor How berkata syarikat merancang untuk memasang dan mengoperasikan sehingga lapan barisan celupan sarung tangan secara berperingkat bagi memberi tumpuan kepada pembuatan sarung tangan nitril gred perubatan.

“Ia dijangka menghasilkan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 1.94 bilion unit setahun dengan operasi penuh dalam tempoh 36 bulan, untuk jangkaan pulangan ke atas ekuiti sekurang-kurangnya 10 peratus.

“Jumlah perbelanjaan modal untuk memulakan perniagaan sarung tangan adalah sebanyak RM104.8 juta, terdiri daripada RM25 juta untuk pengambilalihan bangunan kilang, RM56.7 juta untuk perbelanjaan modal, RM22.1 juta untuk modal kerja, termasuk pembelian bahan mentah, gaji kakitangan dan langkah pengambilan, manakala baki sebanyak RM1 juta untuk fi profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tan, inisiatif kepelbagaian akan dibiayai sebahagiannya daripada pengagihan semula dana yang diperoleh dalam terbitan hak sebelum ini sebanyak RM19.9 juta dan RM56.0 juta diraih daripada terbitan 400.25 juta saham baharu dan 133.4 juta waran percuma mengikut terbitan hak baru-baru ini.

Baki perbelanjaan modal akan dibiayai oleh pinjaman bank, dana dalaman dan langkah pengumpulan dana pada masa depan apabila diperlukan, katanya.

PDZ telah mengenal pasti bangunan kilang satu tingkat seluas 140,000 kaki persegi di Kulai, Johor, yang didirikan di tanah seluas 2.64 hektar, yang boleh memenuhi sebarang pengembangan perniagaan sarung tangan pada masa depan yang kini sedang dirancang.

“Hospital dan agensi ketenteraan EU berminat untuk menyimpan stok sarung tangan getah sebagai persediaan untuk potensi ancaman biologi pada masa depan.

“Dengan Protev sebagai syarikat pemerolehan dan pengurusan projek yang bereputasi, bersama-sama dengan PDZ, kami akan memanfaatkan pasaran premium ini di EU,” menurut syarikat itu.

Sementara itu, PDZ berhasrat untuk mengambil sehingga 152 pekerja untuk menjalankan pelbagai peranan bagi perniagaan sarung tangan.

Dari segi pasaran sasaran, PDZ berkata berdasarkan kerjasamanya dengan Protev, syarikat berhasrat untuk memberi tumpuan kepada pasaran EU, selain turut memberikan perkhidmatan kepada negara lain dengan kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi seperti Amerika Syarikat, Afrika, Amerika Selatan dan India.

Protev adalah sebuah syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands, yang berpangkalan di Hong Kong.
Ia merupakan pakar dalam pemerolehan dan pengurusan projek dengan rangkaian perniagaan yang kukuh di seluruh Eropah, meliputi industri, iaitu sarung tangan, automotif, teknologi dan telekomunikasi, perkhidmatan rangkaian, penyelesaian panel solar dan penyelesaian paparan maklumat digital.

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia mengunjurkan permintaan terhadap sarung tangan getah di peringkat global akan mencecah 420 bilion unit pada 2021, meningkat 10.53 peratus daripada 2020.

Pada penutup, saham PDZ merosot 32 peratus kepada 8.5 peratus dengan 72.71 juta saham diniagakan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon