B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Minggu Kluster Halal pamer penjenamaan halal Malaysia dengan peluang pasaran baharu sehingga AS$80 juta

Minggu Kluster Halal pamer penjenamaan halal Malaysia dengan peluang pasaran baharu sehingga AS$80 juta

15 Nov 2021

Minggu Kluster Halal akan mempamerkan penjenamaan Halal Malaysia dengan peluang pasaran baharu sehingga AS$80 juta (AS$1=RM4.16) dari segi potensi perdagangan dan pelaburan, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Norazman Ayob.

Beliau berkata Minggu Kluster Halal akan menjadi platform utama yang menghimpunkan komuniti perniagaan halal dari seluruh dunia.

“Aktiviti yang dijalankan sepanjang Minggu Kluster Halal ini akan menyumbang kepada kemampanan Halal Malaysia dalam jangka masa panjang,” katanya pada majlis pelancaran acara itu secara maya hari ini.

Minggu Kluster Halal bermula dari 14 hingga 20 Nov, 2021 bersempena dengan World Expo 2020 Dubai diterajui oleh Halal Development Corporation (HDC) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Beliau berkata MATRADE dan HDC, bersama 19 syarikat Malaysia yang mengambil bahagian, akan terlibat dalam Misi Pertingkat Eksport Ekosistem Digital Halal yang memberi tumpuan kepada sektor seperti e-dagang – e-peniaga, gerbang pembayaran, tempat e-pasaran, e-penunaian, logistik, gaya hidup serta makanan dan minuman.

Norazman berkata acara itu akan turut menyaksikan kerjasama Malaysia dengan rakan dagang utama melalui perkongsian pengetahuan, logistik dan jaringan rantaian bekalan serta pengembangan pasaran melalui platform digital.

“Ini termasuk kerjasama HDC dengan African Institute of Islamic Finance (AIIF), sesi latihan perkongsian pengetahuan Rantaian Bekalan Halal dan Logistik serta pameran platform Digital Halal Malaysia yang menampilkan Platform Bersepadu Halal (HIP) dan Pusat Pengetahuan Halal (HKC),” katanya.

Sementara itu, katanya pelancaran Dana Kemudahan Bantuan Kewangan oleh Standard Chartered Saadiq, dengan kerjasama HDC, dijangka memberi manfaat kepada syarikat Malaysia yang berkembang di luar negara dan syarikat asing yang merancang untuk mewujudkan kehadiran komersial di Taman Perindustrian Halal Malaysia.

“Kami berpendapat pembolehubah ini akan menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk utama ke pasaran Halal Timur Tengah,” katanya.

Pada majlis itu, HDC turut bertukar Memorandum Persefahaman dengan Chartered Institute Logistics and Transport (CILT) International, yang akan membawa kepada pembangunan Sistem Pengurusan Rantaian Bekalan Halal (HSCMS).
Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata HSCMS yang komprehensif itu akan merangkumi pembangunan sistem dan modul serta program latihan halal kepada 36 pejabat negara CILT di seluruh dunia dan pembangunan tenaga kerja dan pakar halal.

“Kami menjangka peningkatan yang ketara dalam perdagangan Halal dalam industri logistik dengan kerjasama ini,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon