B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Nokia tawar teknologi bagi pelaksanaan rangkaian 5G Malaysia

Nokia tawar teknologi bagi pelaksanaan rangkaian 5G Malaysia

14 Jun 2021

Syarikat teknologi maklumat dan telekomunikasi multinasional dari Finland, Nokia, menawarkan teknologi 5G dibangunkannya yang telah diterima di peringkat global, untuk digunakan dalam pelaksanaan rangkaian di Malaysia pada akhir 2021.

Ketua Asia Tenggara Nokia, Daniel Jaeger berkata memandangkan terdapat lebih 200 kontrak komersial 5G dan 60 rangkaian 5G sedang berkuat kuasa serta beroperasi di seluruh dunia, pihaknya mahu menyediakan beberapa penyelesaian yang terbukti berkesan untuk Malaysia.

“Dalam usaha membangunkan rangkaian 5G yang kukuh, anda memerlukan banyak elemen lain dan Nokia memiliki portfolio luas dengan mempunyai semua yang diperlukan pengendali untuk membangunkan rangkaian 5G yang dipercayai.

“Selain itu, kami juga gembira apabila aspek keselamatan teknologi rangkaian 5G Nokia meraih minat dan kepercayaan yang tinggi daripada pelanggan kami,” katanya kepada Bernama dalam temu bual secara maya pada Isnin.

Bulan lepas, Nokia mengesahkan penyertaannya dalam tender infrastruktur 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB).

Nokia berhasrat meningkatkan kesambungan negara dan memacu pembangunan ekonomi, menerusi teknologi canggih seperti e-kesihatan, robotik awan, kawalan jauh mesin, serta pengawasan dan analisis video.

Jaeger berkata dari segi keselamatan rangkaian, Nokia bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan di setiap negara untuk memenuhi keperluan penyelesaian khusus yang ditetapkan pihak pengawalseliaan masing-masing.

“Dalam melaksanakan rangkaian 5G, kepentingan terhadap aspek keselamatan adalah jauh lebih besar berbanding teknologi sebelum ini jadi kami mencipta semuanya dari mula dengan amat menekankan aspek keselamatan dalam setiap penyelesaian dan rangkaian yang kami bangunkan.

“Kami telah bekerjasama dengan pihak pengawal selia dan hasilnya, penyelesaian kami dalam 5G secara khusus telah dipilih oleh pengendali di semua benua, termasuk yang mempunyai syarat keselamatan yang sangat ketat,” katanya.

Beliau berkata selain menawarkan penyelesaian kepada rangkaian dalam portfolio, Nokia turut menyediakan kesambungan gentian bagi perkongsian dengan penyedia perkhidmatan tempatan, Allo, untuk melaksanakan sebuah rangkaian gentian gigabit di Melaka, Johor, Negeri Sembilan serta wilayah pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Kami juga melakukan usaha yang amat penting dalam membangunkan kabel dasar laut untuk menghubungkan benua dan pulau antara satu sama lain dalam mempertingkatkan kesambungan.

“Kami mempunyai semua aspek penting dalam portfolio kami yang menjadi keperluan pengendali untuk membangunkan rangkaian, dan Nokia bekerjasama rapat dengan mereka bagi penggunaan teknologi berbeza yang kami tawarkan,” katanya.  

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon