EBITDA industri farmaseutikal dijangka berkembang sehingga 6.0 peratus - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


EBITDA industri farmaseutikal dijangka berkembang sehingga 6.0 peratus

EBITDA industri farmaseutikal dijangka berkembang sehingga 6.0 peratus

14 Jun 2021

Pendapatan agregat tahunan bagi industri farmaseutikal sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dijangka berkembang antara 4.0 peratus dan 6.0 untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan kegunaan farmaseutikal serta rawatan dan vaksin berkenaan COVID-19, kata Moody’s Investors Service (Moody’s) dalam kenyataan hari ini.

Agensi penarafan itu berkata sebahagian daripada produk ini termasuk vaksin COVID-19 seperti Pfizer, AstraZeneca dan Johnson & Johnson akan memacu pertumbuhan keuntungan yang signifikan dan menurutnya Pfizer menyumbang keuntungan yang besar dengan baru-baru ini menjana perolehan global US$26 bilion bagi 2021.

“Anggaran ini adalah konsisten dengan ramalan Disember 2020 sebanyak 4.0 peratus-6.0 peratus apabila kita mengubah unjuran industri kepada ‘positif’ daripada ‘stabil’ dan lebih tinggi berbanding ramalan Oktober 2020 iaitu 2.0 peratus -4.0 peratus.

“Ramalan kami menjangkau penilaian farmaseutikal dunia — pelbagai kumpulan syarikat yang beroperasi di banyak wilayah geografi dan menawarkan produk daripada ubat-ubatan bioteknologi yang mahal dan kompleks sehinggalah generik seperti komoditi,” kata Moody’s.

Walaupun terdapat kesan yang berpanjangan membabitkan koranavirus, menurutnya perbelanjaan farmaseutikal akan terus meningkat di seluruh dunia.

Menurut Institut IQVIA, perbelanjaan ubat preskripsi global akan menokok 3.0 peratus-6.0 peratus pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sepanjang 2025 dan melebihi US$1.6 trilion pada 2025, tidak termasuk perbelanjaan terhadap vaksin koranavirus.

“Pasaran onkologi akan kekal kukuh disebabkan kitaran inovasi yang sedang dilaksanakan, yang dibuktikan oleh kelulusan ubat-ubatan baru-baru ini dan perkembangan indikasi bagi ubat-ubatan sedia ada,” kata Moody’s.

Katanya, banyak produk yang merawat gangguan autoimun akan turut menyaksikan pertumbuhan yang kukuh.

“Rawatan sedemikian merangkumi pelbagai kategori penyakit termasuk artritis reumatoid, plak psoriasis, dermatitis atopik, penyakit Crohn dan kolitis berulser,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon