B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Peningkatan pelaburan mampu yakinkan pelabur untuk kekal, beri peluang pekerjaan – Mohd Uzir

Peningkatan pelaburan mampu yakinkan pelabur untuk kekal, beri peluang pekerjaan – Mohd Uzir

14 Jun 2021

Peningkatan pelaburan di Malaysia pada suku pertama tahun ini mampu meyakinkan pelabur untuk terus kekal, sekali gus membuka peluang pekerjaan terutamanya kepada graduan baharu, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, menurut data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM80.6 bilion dalam sector pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021, melonjak 95.6 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

“Kelulusan untuk melabur di negara ini (yang) semakin meningkat akan memberikan satu pengharapan kepada graduan untuk memiliki pekerjaan dan mengaktifkan ekonomi Malaysia dalam pelbagai sektor,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini: “COVID-19: Makna Di sebalik Data,” terbitan Bernama TV.

Mohd Uzir berkata pada masa yang sama, pertambahan nilai pelaburan yang direkodkan Malaysia akan mampu menurunkan kadar pengangguran di negara ini.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran pada April 2021 merekodkan penurunan kepada 4.6 peratus atau pengurangan seramai 10,500 orang, iaitu kadar yang terendah sejak Oktober 2020.

Pengurangan 0.1 mata itu menjadikan jumlah penganggur kini seramai 742,700 orang berbanding 753,200 pada Mac tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran dalam mendepani ancaman pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara sejak akhir tahun lepas berkemungkinan akan terjejas.

“Namun secara umumnya, berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan, ekonomi negara pada April 2021 menunjukkan corak pemulihan,” katanya.

Menurut statistik jabatan itu, keadaan ekonomi Malaysia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut sedikit sebanyak 0.5 peratus pada suku pertama 2021, tetapi mencerminkan pemulihan berbanding penguncupan 3.4 peratus daripada suku sebelumnya.

Peningkatan ini disokong oleh pengembangan dalam sektor perkilangan, pemulihan  dalam pertanian dan prestasi lebih baik yang dicatatkan oleh semua sector ekonomi berbanding dua suku terakhir.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon