B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Nine Dragons Paper labur RM5.4 bilion di Malaysia

Nine Dragons Paper labur RM5.4 bilion di Malaysia

02 Mac 2021

Syarikat pengeluar kertas dan ‘paperboard’ terbesar di Asia, Nine Dragons Paper (Holdings) Limited (Nine Dragons Paper), menyatakan komitmen menambah pelaburan sebanyak RM5.4 bilion di Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tambahan pelaburan itu adalah antara 572 projek perkilangan dari China bernilai RM78.61 bilion diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sehingga Disember tahun lalu.

Beliau yang menerima kunjungan delegasi syarikat itu hari ini, berkata, pelaburan Kumpulan itu di Malaysia membabitkan dua fasiliti perkilangan iaitu ND Paper (Malaysia) Sdn Bhd di Bentong, Pahang, membabitkan pengambilalihan kilang kertas dan pulpa dengan pelaburan keseluruhan RM1.2 bilion dan ND Paper Malaysia (Selangor) Sdn Bhd di Banting, dengan pelaburan RM4.2 bilion.

“Syarikat ini tersenarai di papan utama Bursa Hong Kong dan menduduki senarai China Fortune 500,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Delegasi Nine Dragons Paper diwakili pengerusinya, Cheung Yan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Zhang Cheng Fei.

Yang turut hadir Menteri Kanan Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud.

Muhyiddin berkata, kedua-dua projek oleh syarikat itu bakal menjana 2,180 peluang pekerjaan dengan hampir 90 peratus adalah rakyat tempatan dengan projek di Banting dijadual beroperasi pada 2022.

“Saya tegaskan Kerajaan Malaysia amat ‘pro-business’ dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu ke dalam negara, dan bersedia untuk menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

“Penambahan pelaburan oleh Kumpulan Nine Dragons Paper ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka.

“Semoga ekonomi negara terus pulih dan bertambah kukuh,” katanya. Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon