B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia raih RM164 bilion pelaburan diluluskan pada 2020

Malaysia raih RM164 bilion pelaburan diluluskan pada 2020

02 Mac 2021

Malaysia mencatat sejumlah RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada 2020 meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang amat mencabar akibat pandemik COVID-19.

Ia lebih rendah berbanding 5,287 projek dengan pelaburan berjumlah RM211.4 bilion diluluskan pada 2019 berikutan sektor perkhidmatan dan utama yang secara langsung dipengaruhi oleh penurunan permintaan global akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelaburan yang dicatatkan pada 2020 itu dijangka dapat mewujudkan 114,673 pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor ekonomi setelah dilaksanakan.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun berdepan dengan cabaran akibat pandemik, pelaburan projek baharu yang merangkumi 66.9 peratus dari keseluruhan projek perkilangan yang diluluskan, tetap dapat dijana pada 2020.

Beliau berkata, ia adalah bukti usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan dasar yang mesra pelabur telah dilaksanakan untuk membolehkan pelabur mempunyai keyakinan untuk mewujudkan operasi baharu di negara ini.

“Pasukan kami juga telah bekerja keras untuk memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan lancar. Ini dapat dilihat melalui peringkat pelaksanaan yang baik bagi projek yang telah diluluskan.

“Untuk tempoh 2016-2020, daripada 4,178 projek yang telah diluluskan, 70.0 peratus pelaburan bernilai RM197.2 bilion telah dilaksanakan di negara ini, ” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2020, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar dari jumlah pelaburan yang diluluskan dengan sumbangan 60.9 peratus (RM99.8 bilion), sementara pelaburan langsung asing (FDI) merangkumi baki RM64.2 bilion (39.1 peratus).

Sektor perkilangan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2020 dengan mencatat pelaburan sebanyak RM91.3 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan RM66.7 bilion dan sektor utama dengan RM6.0 bilion.

China (RM18.1 bilion), Singapura (RM10.0 bilion) dan Belanda (RM7.0 bilion) adalah tiga sumber FDI teratas dari keseluruhan sektor ekonomi di Malaysia, menyumbang lebih daripada separuh (54.8 peratus) daripada jumlah FDI yang diluluskan untuk tahun itu.

Selangor (RM38.7 bilion) mencatatkan pelaburan tertinggi yang diluluskan tahun lalu, diikuti oleh Sabah (RM21.0 bilion), Sarawak (RM19.6 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM17.1 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.0 bilion), yang mana lima negeri itu saja menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk 2020.

Sektor perkilangan Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM91.3 bilion untuk 2020, meningkat 10.3 peratus berbanding 2019.

Bilangan projek perkilangan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 6.2 peratus dari 988 projek pada 2019 kepada 1,049 projek pada 2020.

Apabila dilaksanakan, projek perkilangan yang diluluskan itu akan mewujudkan pekerjaan baru untuk lebih daripada 80,000 orang, dengan 35.8 peratus adalah jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS), termasuk jurutera, penyelia penyelenggaraan kilang, pembuat tools and die, juruteknik, kakitangan IT, pengawal kualiti, juruelektrik dan pengimpal.

FDI menyumbang 62 peratus (RM56.6 bilion) dari jumlah pelaburan yang diluluskan di sektor perkilangan, sementara pelaburan domestik merangkumi baki 38 peratus (RM34.7 bilion).

China kekal pelabur teratas dalam sektor perkilangan di Malaysia, menyumbang RM17.8 bilion daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor itu.

Sumber FDI utama yang lain termasuk Singapura (RM8.8 bilion), Belanda (RM6.5 bilion), Amerika Syarikat (RM3.7 bilion), Hong Kong (RM2.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), Thailand (RM1.9 bilion), Jepun (RM1.7 bilion) dan Korea (RM1.4 bilion).

Selangor (RM18.4 bilion) adalah penerima pelaburan terbesar dalam sektor perkilangan untuk 2020, diikuti oleh Sarawak (RM15.7 bilion), Pulau Pinang (RM14.1 bilion), Sabah (RM12.0 bilion) dan Johor (RM6.8 bilion), dengan kelima-lima negeri itu menyumbang 73.4 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di sektor itu tahun lalu.

Dengan langkah Malaysia menuju industri teknologi canggih, projek berintensifkan modal yang membabitkan teknologi canggih dan tenaga kerja mahir mendominasi landskap perkilangan, dengan nisbah pelaburan modal bagi setiap pekerja (CIPE) meningkat kepada RM1,138,055 pada 2020 berbanding RM1,052,497 pada 2019.

Selain itu, sejumlah 101 projek telah diluluskan dengan pelaburan bernilai RM100 juta ke atas.

Dari segi industri yang menunjukkan prestasi tinggi pada 2020, elektrik dan elektronik (RM15.6 bilion), produk petroleum termasuk petrokimia (RM15.5 bilion), produk logam asas (RM14.4 bilion), kertas, percetakan dan penerbitan (RM7.8 bilion), mesin dan peralatan

(RM7.1 bilion), bahan kimia dan produk kimia (RM6.3 bilion), produk getah (RM4.3 bilion) serta teknologi pengangkutan (RM3.9 bilion) telah menyumbang hampir 90 peratus jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan tahun lalu.

“Perlu diperhatikan bahawa pelaburan dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan dan kimia, serta dua bidang pertumbuhan tinggi – aeroangkasa dan alat peranti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe11) merangkumi lebih satu pertiga (38.6 peratus) dari jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan dengan pelaburan bernilai RM35.2 bilion pada 2020.

“Oleh kerana 2020 menandakan berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan sedang giat memuktamadkan Rancangan Malaysia Ke-12. Rangka tindakan pasca 2020 ini akan memacu langkah ke hadapan untuk agenda pembangunan Malaysia dalam dekad yang akan datang.

“Kami optimis bahawa ia akan merencanakan langkah untuk meningkatkan lagi strategi daya saing industri Malaysia dalam industri penting dan utama untuk transformasi ekonomi yang mampan bagi meningkatkan sektor perkilangan dan perkhidmatan negara ke tahap maju dan kompleks dalam norma baharu pasca COVID-19 dan seterusnya, ” kata Azmin.

Projek utama yang diluluskan tahun lalu terdiri daripada syarikat multinasional dalam industri bertaraf tinggi dan teknologi tinggi yang baharu beroperasi di Malaysia, termasuk Dexcom, syarikat Amerika Syarikat (AS) dan peneraju sistem pemantauan glukosa berterusan yang akan menghasilkan penawaran khusus mereka di Pulau Pinang.

Sehingga Disember 2020, MIDA mempunyai potensi pelaburan bernilai RM65.9 bilion yang sedang dinilai secara aktif dan setelah diluluskan, ia diharapkan dapat dilaksanakan dalam 2021 hingga 2022.

MIDA juga telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat Fortune 500 di sektor perkilangan dan

perkhidmatan, dengan gabungan nilai pelaburan berpotensi RM81.9 bilion, termasuk rundingan yang sedang berlangsung dengan syarikat dari pelbagai sektor seperti automotif, kimia, dan elektronik canggih untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perkilangan,

perkhidmatan dan rantaian bekalan global bernilai tinggi.

“Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang baharu dilancarkan oleh kerajaan juga akan mempercepat kemajuan Malaysia untuk menjadi ekonomi maju dari segi teknologi.

“Rancangan 10 tahun ini akan meletakkan asas transformasi negara ke arah ekonomi digital yang maju dan membimbing MITI dan MIDA dalam usaha kita untuk terus menarik pelaburan bernilai tinggi pada masa depan,” kata Azmin.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon