B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Nestle Malaysia bina kilang makanan berasaskan tumbuhan

Nestle Malaysia bina kilang makanan berasaskan tumbuhan

06 Apr 2021

Nestle (Malaysia) Bhd melabur RM150 juta untuk membina kemudahan pengeluaran makanan berasaskan tumbuhan di sini.

Kemudahan itu adalah satu daripada dua kilang seumpamanya di Asia dan yang pertama di ASEAN.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Zon Asia, Oceania dan Afrika Sub-Sahara, Nestle S.A, Chris Johnson, berkata Malaysia khususnya Selangor dipilih sebagai lokasi hab pembuatan baharu kerana menawarkan infrastruktur yang lengkap dan diperlukan.

“Selain itu, negeri ini juga adalah lokasi menarik yang menawarkan hubungan perdagangan, ditambah dengan memiliki sumber tenaga mahir.

“Berpaksikan kejayaan Nestle selama 108 tahun di negara ini, kami yakin fasiliti baharu ini akan mencipta peluang pertumbuhan baharu yang menarik bagi makanan berasaskan tumbuhan di rantau ini.

“Nestle Malaysia melabur RM150 juta bagi membina fasiliti ini yang turut menjadi penyumbang utama kepada perbelanjaan modal berjumlah RM280 juta pada 2020, iaitu perbelanjaan tertinggi dalam tempoh enam tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam mesej video dari Geneva, Switzerland pada majlis perasmian Pusat Pengeluaran Makanan Berasaskan Tumbuhan Nestle Shah Alam, hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan majlis itu.

Turut hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Majlis juga disertai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Nestle Malaysia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols.

Mengulas lanjut, Johnson berkata, kemudahan pengeluaran makanan berasaskan tumbuhan itu akan menghasilkan makanan berasaskan tumbuhan bukan hanya bagi memenuhi pasaran tempatan malah untuk dieksport.

“Kini, ia adalah keutamaan penting kumpulan Nestle secara global untuk menggalakkan masyarakat mengambil lebih banyak makanan berasaskan tumbuhan,” katanya.

Sementara itu Aranols berkata, sumber protein daripada tumbuhan adalah lebih mesra alam sekitar kerana sebahagian kecil saja sumber semula jadi seperti tanah dan air diperlukan untuk mendapatkan jumlah protein yang sama dengan sumber daging.

Namun, katanya, ia 80 peratus lebih rendah dari segi pelepasan karbon dioksida merentasi rantaian bekalan.

“Dengan pelancaran tapak pengeluaran di Shah Alam, Nestle Malaysia mampu memenuhi peluang ini dengan membekalkan tawaran berasakan tumbuhan yang berkuakiti tinggi dan rasa yang sedap, buatan Malaysia dan juga diperakui halal,” katanya.

Pada majlis itu, Nestle Malaysia turut memperkenalkan produk makanan berasaskan tumbuhannya di bawah jenama Harvest Gourmet, yang akan tersedia di pasar raya dan platform e-dagang tidak lama lagi.

Terletak di Kompleks Perindustrian Nestle sedia ada dekat sini, kilang pengeluaran baharu itu mempunyai ruang binaan seluas kira-kira 6,000 meter persegi dan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 8,000 tan.

Ia dilengkapi mesin pemprosesan makanan terkini dengan mesin pembungkusan automatik sepenuhnya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon