B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerjasama pembuatan pintar Malaysia-Jepun kini di fasa kedua

Kerjasama pembuatan pintar Malaysia-Jepun kini di fasa kedua

05 Apr 2021

Kerjasama Malaysia-Jepun bagi  membantu industri pembuatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan menerima pakai teknologi pembuatan pintar, kini memasuki fasa kedua yang melibatkan aspek padanan perniagaan dan penciptaan pameran teknologi Industri 4.0.

Menurut kenyataan bersama SIRIM  Bhd dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) Kuala Lumpur pada Isnin, kedua-dua pihak itu telah bekerjasama menyokong pengenalan pembuatan pintar dan teknologi berkaitan Industri 4.0 Jepun kepada PKS tempatan dalam sektor berkenaan sejak 2019.

Fasa kedua itu meliputi penganjuran bengkel padanan perniagaan dalam talian pada 25 Mac lepas yang menyediakan platform bersesuaian untuk penyedia penyelesaian Jepun dan PKS tempatan.

Bengkel sehari itu disertai oleh empat penyedia penyelesaian Jepun iaitu Hitachi Asia (Malaysia) Sdn Bhd, KDDI Malaysia Sdn Bhd, NEC Corporation of Malaysia Sdn Bhd dan Mitsubishi Electric Sales Malaysia Sdn Bhd.

Ia turut disertai sebanyak 17 PKS tempatan dari pelbagai industri pembuatan yang melibatkan 28 sesi padanan perniagaan.

“PKS tempatan yang telah melaksanakan dan menerima laporan Penilaian Kesediaan Industry4WRD, menunjukkan minat untuk menggunapakai teknologi Jepun daripada penyedia penyelesaian terbabit.

“Bagi yang berjaya dipadankan, PKS tersebut layak memohon insentif kerajaan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menggunapakai teknologi Industri 4.0 yang relevan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, fasa ketiga dan terakhir kerjasama tersebut akan melibatkan penganjuran acara padanan perniagaan dalam skala lebih besar dan terbuka kepada semua sektor pembuatan Malaysia serta penyedia penyelesaian Jepun.

“Kerajaan menerusi Industry4WRD : Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0, diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang bertujuan memacu transformasi digital ke arah pembuatan serta sektor perkhidmatan berkaitan di Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon