B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KAF, NGPP meterai perjanjian kerjasama bekal bahan mentah

KAF, NGPP meterai perjanjian kerjasama bekal bahan mentah

06 Apr 2021

Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF) hari ini memeterai perjanjian jalinan kerjasama strategik dengan Nextgreen Pulb & Paper Sdn Bhd (NGPP) untuk membekalkan bahan mentah utama bagi pembuatan kertas dan pulpa keluaran syarikat tersebut.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Idris Jusoh berkata kerjasama tersebut membolehkan NGPP melantik KAF sebagai ejen pembelian dan penjualan tandan buah kosong serta pelepah sawit daripada tanah rancangan kepada kilang syarikat itu.

Menurutnya, KAF dapat menjalankan urusan pembelian  tandan buah kosong dan pelepah sawit itu dengan mudah kerana ia beroperasi di seluruh 317 tanah rancangan, dengan 115 daripadanya terletak di Pahang.

“Ini membolehkan peneroka memperoleh pendapatan tambahan daripada bahan buangan yang sebelum ini hanya dibuang atau dijadikan baja, sedangkan penggunaan teknologi membolehkan ia dijadikan kertas berkualiti dan boleh dieksport.

“Kerjasama ini dijangka bermula pada Julai ini dengan KAF menguruskan urusan berkaitan penjualan bahan ini termasuk aspek pengangkutan bagi memudahkan peneroka,” katanya.

Idris berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama tersebut yang disusuli dengan lawatan kerja ke kilang pemprosesan kertas NGPP yang terletak di Taman Teknologi Hijau (GTP), di sini, hari ini.

Pada majlis permeteraian perjanjian itu, NGPP diwakili Pengarah Urusannya Datuk Lim Thiam Huat manakala KAF diwakili Bendahari Agongnya, Datuk Amizar Abu Adam.

NGPP adalah  anak syarikat milik NextGreen Global Bhd  yang tersenarai di Bursa Malaysia  yang juga merupakan pemaju GTP seluas 165 hektar  yang terletak berhampiran beberapa tanah rancangan termasuk Felda Chini dan Felda Lepar di Kuantan.

Kilang NGPP menggunakan teknologi Preconditioning Rener Chemical-Recycle Bleached Mechanised Pulp (PRC-RBMP) untuk menghasilkan pulpa dan kertas bagi tujuan percetakan, kertas tisu dan pembungkusan yang lebih mesra alam kerana tidak perlu menebang pokok.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon