B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Negeri Sembilan sasar perluas industri halal dalam F&B, kosmetik dan farmaseutikal

Negeri Sembilan sasar perluas industri halal dalam F&B, kosmetik dan farmaseutikal

28 Okt 2021

Negeri Sembilan menyasarkan untuk memperluas industri halal dalam bidang makanan dan minuman (F&B), kosmetik dan farmaseutikal menjelang tahun depan menerusi projek pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata kerajaan negeri terbabit merancang untuk membangunkan kawasan seluas 546.3 hektar di Labu bagi memajukan industri halal tersebut.

“Taman Teknologi Enstek 1 dan 2 yang dibangunkan oleh TH Property merupakan kawasan perindustrian halal yang amat berjaya walaupun tidak diwartakan sebagai sebuah taman halal. Ia telah berjaya menarik banyak syarikat atau penggiat industri halal utama seperti Coca-cola, Kelloggs, Dutch Lady, Ajinomoto, Might Bakery dan Mission Foods Malaysia.

“Kita juga berharap dapat mewujudkan lebih banyak kawasan untuk industri halal menjelang tahun depan dengan menumpukan produk-produk F&B, farmaseutikal dan kosmetik. Saya yakin usaha ini dapat menyumbang sehingga 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar bagi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Seminar Hibrid Bagi Memacu Semula Ekonomi Halal Bersama Negeri Sembilan anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

Mohamad Rafie berkata, pengiktirafan dalam bentuk pensijilan halal akan memberi kelebihan kepada produk serta pengeluar yang berupaya melonjakkan lagi bahagian pasaran.

Malah, katanya, sijil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga merupakan antara yang paling diyakini di dunia.

Selain itu, beliau menyifatkan Negeri Sembilan sebagai sebuah lokasi strategik dengan kemudahan kesalinghubungan yang baik menerui udara, darat dan laut, sekali gus menjadikannya pilihan wajar untuk kalangan pelabur domestik dan asing.

Menurutnya, negeri itu mencatat pelaburan berjumlah RM3.65 bilion pada 2019 — peningkatan sebanyak RM1.17 bilion berbanding RM2.43 bilion pada 2018 dan RM1.1 bilion in 2017.

Prestasi itu disumbangkan oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan bernilai RM39.3 bilion atau 86.1 peratus daripada keseluruhan nilai pelaburan selain mewujudkan sebanyak 3,347 pekerjaan.

Beliau berkata, kerajaan Negeri Sembilan juga berjaya menambahkan hasilnya sebanyak RM556 juta pada 2019 yang melebihi sasaran RM430 juta berbanding RM413.46 juta pada 2018.

“Kerajaan negeri telah menyediakan Pelan Induk Bersepadu bagi Negeri Sembilan bagi mencapai matlamat untuk muncul sebagai destinasi pelaburan.

“Visi Negeri Sembilan 2045 adalah makmur, inklusif dan mampan yang dibahagikan kepada dua kluster utama — MVV 2.0 dan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar,” katanya.

Mengulas aspek peluang pekerjaan, Mohamad Rafie berkata kerajaan negeri itu juga menyasarkan untuk membawa masuk industri berteknologi tinggi yang memerlukan pekerja mahir dan berpengetahuan yang dapat memberi jaminan dari segi ganjaran dan gaji lebih menarik.

MVV 2.0 yang juga pelan pembangunan jangka panjang di Negeri Sembilan, bermatlamat untuk mewujudkan pembangunan metropolis berkelas dunia yang dipacu oleh kerjasama awam-swasta.

Projek tersebut meliputi kawasan seluas 153,411 hektar yang merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson dan menumpukan empat pemacu ekonomi iaitu industri berteknologi tinggi, industri perkhidmatan dan pelancongan, sektor pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran serta industri perkhidmatan khusus atau kegiatan berkaitan dengan hab logistik, penerbangan dan maritim.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X