B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


AT&S labur RM8.5 bilion bina kilang di Malaysia

AT&S labur RM8.5 bilion bina kilang di Malaysia

28 Okt 2021

AT&S, peneraju global pembuatan papan litar bercetak (PCB) dan litar bersepadu (IC) substrat berprestasi tinggi yang berpangkalan di Austria, memilih Malaysia untuk kemudahan pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara dengan pelaburan fasa pertama RM8.5 bilion.

Kemudahan pengeluaran itu dibangunkan di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah dengan acara rasmi pecah tanahnya dijadualkan pada Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Andreas Gerstenmayer, berkata pelaburan di Malaysia itu adalah yang terbesar setakat ini bagi syarikat berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan membawa teknologi tinggi generasi baharu ke negara ini dan membangunkan sektor teknologi baharu dengan kemudahan pengeluaran itu.

Katanya, pembinaan kemudahan pengeluaran di Kulim itu dijangka mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan teknologi tinggi dan operasi komersial dijangka bermula 2024.

“Pada hari ini, Malaysia adalah hab yang penting bagi rantaian bekalan cip.

“Kami percaya bahawa Malaysia boleh mengukuhkan lagi kedudukan sebagai negara teknologi dan akan membangunkan kedudukannya di rantau ini sebagai hab pengeluaran teknologi tinggi di Asia,” katanya pada sidang media mengenai pelaburan AT&S di Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut pelaburan di Malaysia, Ketua Pegawai Operasi AT&S, Ingolf Schroeder, berkata pihaknya memilih negara ini berikutan lokasinya yang strategik, mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi, infrastruktur dan ekosistem semikonduktor yang mantap.

Beliau berkata, pembinaan kemudahan pengeluaran di Kulim itu juga adalah sejajar dengan rancangan pengembangan AT&S untuk menjadi pengeluar PCB berprestasi tinggi nombor satu di dunia.

“AT&S membawakan generasi terkini teknologi berprestasi tinggi ke Malaysia dan akan mewujudkan sektor teknologi serba baharu di lokasi yang bakal menjadi salah satu kawasan khas mikroelektronik global.

“Di samping pengeluaran produk teknologi tinggi, kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang meluas juga akan dijalankan di tapak yang baharu ini,” katanya.

Schroeder berkata, semua kegiatan itu memerlukan sejumlah besar sumber manusia yang berkelayakan tinggi, yang akan merangsang pasaran pekerja di rantau ini.

Beliau berkata, keperluan pekerja di kilang AT&S yang baharu itu termasuklah pakar, pengurus dan ketua dalam bidang kejuruteraan elektronik, mekanikal, kimia serta perniagaan.

Katanya, AT&S juga memerlukan kira-kira 4,500 pekerja kolar biru yang mampu bekerja dalam persekitaran kilang yang begitu canggih.

Selain pengeluaran, R&D juga akan menjadi tumpuan di pusat pengeluaran AT&S di Kulim.

Oleh itu, AT&S juga sedang meneliti kerjasama dan gandingan dengan universiti terkemuka di Malaysia.

“Usaha sama itu bukan saja dapat membantu kami merintis haluan baru bagi industri mikroelektronik, tetapi juga dapat memberi sumbangan yang penting bagi pembangunan dari segi pengetahuan yang meluas dalam pelbagai bidang industri mikroelektronik di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang positif,” kata Gerstenmayer.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon