B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ASEAN dijangka benarkan perjalanan rentas sempadan tidak lama lagi – Saifuddin

ASEAN dijangka benarkan perjalanan rentas sempadan tidak lama lagi – Saifuddin

28 Okt 2021

Kerangka Kerja Pengaturan Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF) dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam masa terdekat bagi mempermudah perjalanan rentas sempadan dalam kalangan negara anggota.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata bagaimanapun, pelaksanaan ATCAF perlu mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan COVID-19.

“Boleh dikatakan semua negara ASEAN bercakap mengenai keperluan untuk mengizinkan perjalanan antara negara anggota terutama yang berkongsi sempadan yang sama.

“Kami percaya ia akan dapat dilaksanakan tidak lama lagi, jika tidak melibatkan seluruh ASEAN, tetapi ia mungkin akan dilaksanakan dengan negara jiran ASEAN,” katanya pada sidang media mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini pada Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak maya tiga hari itu yang bermula pada Selasa, dipengerusikan Brunei.

Mengenai Myanmar, beliau berkata kumpulan serantau itu menghargai Myanmar sebagai keluarga ASEAN dan Malaysia mahu melihat pelaksanaan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara secepat mungkin.

“Bagi Malaysia, pertama kami menghargai penyertaan Myanmar sebagai ahli penuh serta aktif dalam ASEAN. Kedua, keutamaan kami adalah melindungi rakyat Myanmar dan ia menjadi perkara utama dan terpenting dalam pemikiran kami.

“Ketiga, andai keadaan semasa berlarutan buntu dan tiada sebarang keputusan dapat dibuat, maka kami perlu memikirkan cara lain untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki.

“Kita harus faham iaitu, semua keputusan yang dibuat ASEAN mengenai Myanmar, keutamaannya adalah demi rakyat Myanmar,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof yang juga Menteri Luar II Brunei, ketika kerusi pengerusi ASEAN diserahkan kepada Kemboja pada 2022, beliau berkata, ia tidak dibincangkan pada sidang kemuncak ini dan beliau percaya blok serantau itu akan membincangkannya tidak lama lagi.

Mengulas mengenai beberapa perkara utama yang dibangkitkan Malaysia pada sidang kemuncak ini, Saifuddin berkata Malaysia menekankan keperluan untuk ASEAN terus bersatu bagi menghadapi banyak cabaran dan memastikan Pemusatan ASEAN kekal menjadi menjadi prinsip yang mencorakkan penglibatan dengan rakan kongsi luar.

Beliau berkata, perdana menteri sudah mengetengahkan beberapa isu utama termasuk pandemik COVID-19 dan Diplomasi Kesihatan, Perwakilan Myanmar dalam ASEAN dan situasi di negara itu termasuk Rohingya, ekonomi digital dan keselamatan siber serta perjanjian keselamatan tiga hala membabitkan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) serta Laut China Selatan.

Mengenai pandemik, Saifuddin berkata perdana menteri menggesa ASEAN dan rakan dialognya untuk mempersiapkan kemungkinan berlaku darurat kesihatan awam dan kemunculan penyakit baru menerusi program perkongsian pengetahuan serta pembinaan kapastiti, termasuk memanfaatkan teknologi digital.

Oleh kerana impak pandemik menyaksikan semangat nasionalisme dan perseteruan geopolitik mencorakkan bentuk respons kerajaan dan pertubuhan antarabangsa, beliau berkata Malaysia menggesa pemimpin dunia untuk menyemak semula aturan antarabangsa sedia ada dan berharap hala tuju baharu dibentuk sebagai persediaan pandemik akan datang.

“Malaysia merasakan seni bina kesihatan global yang baharu perlu dibangunkan. Sudah terbukti bahawa pandemik mengukuhkan kes multilateralisme,” katanya.

Sumber; Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon