B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NCIA, MITI teruskan kerjasama, bawa pelaburan berimpak tinggi ke NCER

NCIA, MITI teruskan kerjasama, bawa pelaburan berimpak tinggi ke NCER

06 Dis 2022

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membawa pelaburan domestik dan asing berimpak tinggi ke Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk mengukuhkan dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, NCIA berkata pihaknya menjangkakan lebih banyak kerjasama dengan MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), serta kerajaan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menjelang 2023 dan seterusnya.

“Wilayah ini bersedia untuk melabur dalam teknologi dan inovasi baharu untuk kekal berdaya saing dan relevan demi landskap ekonomi semasa dan masa depan,” katanya.

Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata pihaknya akan terus mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap NCER melangkaui sektor elektrik dan elektronik, mekanikal dan elektrikal, serta peranti perubatan dalam pembangunan industri yang berkaitan, bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi.

Beliau berkata NCER juga memudahkan dan meningkatkan pemain industri untuk menjadi lebih berorientasikan eksport dengan memberikan mereka insentif untuk menurunkan kos perniagaan, menjadi lebih berdaya saing di peringkat global, mempunyai akses kepada pelbagai pasaran dan melaksanakan pematuhan.

“Bagaimanapun, kita juga harus berwaspada dengan tekanan ekonomi yang dijangkakan akan menjejaskan ekonomi global tahun depan.

“NCER berhati-hati dengan tugas berat untuk mengekang tekanan inflasi, kos tinggi yang ditanggung dalam perang dingin teknologi antara Amerika Syarikat dan China, serta perang berterusan antara Rusia dan Ukraine yang mengganggu rantaian bekalan global,” katanya.

Walaupun menghadapi cabaran ini, beliau menyatakan bahawa ia juga merupakan peluang untuk pemain industri dalam NCER bagi mengukuhkan operasi mereka dan meningkatkan bakat melalui pelaburan baharu, terutama dalam industri semikonduktor.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon