B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA sedia bantu PKS guna pakai penyelesaian ERP menerusi geran kerajaan

MIDA sedia bantu PKS guna pakai penyelesaian ERP menerusi geran kerajaan

06 Dis 2022

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersedia untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengguna pakai penyelesaian Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) menerusi peruntukan geran kerajaan.

Susulan itu, MIDA hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Collaborative Research in Engineering and Science and Technology Centre (CREST) dan Dassault Systèmes Singapore Pte Ltd bagi tujuan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata MIDA komited untuk membantu PKS menerusi geran kerajaan terutamanya bagi mereka yang mahu mengambil bahagian dalam Revolusi Perindustrian 4.0.

“Inisiatif yang tepat pada masa ini bertujuan untuk memperkasakan PKS tempatan kita dan melengkapkan mereka dengan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan perniagaan mereka dengan mengguna pakai penyelesaian ERP bertaraf dunia.

“Kami amat berbangga dengan penglibatan MIDA dalam inisiatif ini untuk memperkasakan firma dan PKS Malaysia bagi mengukuhkan lagi keupayaan teknikal mereka dan menguasai teknologi moden yang seterusnya membolehkan mereka berkembang maju,” katanya pada sidang media selepas majlis permeteraian MoU itu di sini, hari ini.

Kerjasama itu bertujuan untuk mewujudkan jawatankuasa pemandu bagi membincangkan skop, keperluan, peranan dan pelan dalam menyokong PKS Malaysia dalam transformasi mereka kepada Industri 4.0 serta mengukuhkan kolaborasi berasaskan awan menerusi penggunaan penyelesaian ERP bertaraf dunia.

Penyelesaian ERP akan memanfaatkan teknologi berkembar maya Dassault Systèmes menerusi platform 3DEXPERIENCE, terutamanya dalam perisian reka bentuk bantuan komputer dan penyelesaian Product Lifecycle Management, yang digunakan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, kejuruteraan dan sains hayat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CREST Jaffri Ibrahim berkata MoU itu bertujuan untuk menyediakan platform yang membolehkan perniagaan Malaysia berkembang maju dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif pasca pandemik.

“Kami sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan, ketua industri dan ahli akademik bagi memajukan pengetahuan saintifik di negara ini.

“Justeru kami menyasar untuk memperkukuh inovasi dan penyelidikan tempatan di samping membantu perniagaan tempatan mengharungi cabaran dan merebut peluang dalam situasi normal baharu ini,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon