B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


N.Sembilan jalin kerjasama dengan Turki bangunkan Lembah Aeroangkasa

N.Sembilan jalin kerjasama dengan Turki bangunkan Lembah Aeroangkasa

22 Feb 2022

Kerajaan Negeri Sembilan akan bekerjasama dengan Turkish Aerospace Industries Inc (TAI) dalam membangunkan Lembah Aeroangkasa NS (NS Aerospace Valley – NSAV) dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek berkata kerjasama itu dilaksanakan melalui satu memorandum persefahaman (MOU) yang akan ditandatangani kedua-dua pihak pada 28 Mac hingga 1 April ini, di sini.

Beliau mewakili kerajaan negeri untuk misi pelaburan ke Turki dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia Turki di Ankara dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang beribu pejabat di Milan, Itali sejak 15 Feb lepas hingga semalam, adalah untuk tujuan berkenaan.

“Kita ingin membangunkan NSAV yang berkeluasan 6,474 hektar dan di ‘Unmanned Vehicle Valley’ (UVV) seluas 1,821 hektar dalam kawasan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dengan kerjasama mereka.

“Ia juga memberi manfaat bagi pembukaan sektor pengilangan aeroangkasa di MVV 2.0 selain menawarkan latihan dan perpindahan teknologi kepada pekerja tempatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu juga Institut Aeroangkasa di MVV2.0 akan ditubuhkan sekali gus mengukuhkan hubungan Malaysia dan Turki selain kedudukan MVV 2.0 yang strategik dengan jaringan perhubungan melalui udara, laut dan darat memberi kelebihan untuk melabur ke negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan Pelan Induk Pembangunan Ekonomi yang komprehensif di Negeri Sembilan sehingga 2045 secara bersasar dengan industri berteknologi tinggi dan teknologi hijau.

Menurut beliau, selain NSAV, keseluruhan perancangan pembangunan juga tertumpu kepada beberapa parcel lain termasuk Parcel A dengan keluasan 1,148 hektar meliputi kawasan Perindustrian Berteknologi Tinggi dan Parcel B (3,559 hektar) Wilayah Pintar merangkumi perumahan, komersial, bandar kesihatan, institusi pendidikan dan hab halal.

Sementara itu, beliau berkata Negeri Sembilan yang merekodkan nilai pelaburan melebihi RM5 bilion pada tahun lepas turut mengintai peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan beberapa negara lain pada masa akan datang.

“Jumlah sebenar pelaburan 2021 masih belum diumumkan tetapi perkiraan menunjukkan ia melebihi RM5 bilion iaitu melepasi sasaran kita dan untuk tahun ini, kita optimis mampu meningkatkan jumlah pelaburan negeri sehingga RM10 bilion,” katanya.

MVV2.0 adalah inisiatif kerajaan Negeri Sembilan dan adalah pelan pembangunan jangka panjang dengan tempoh pembangunan selama 30 tahun (2016- 2045) bermula dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11: 2016-2020).

Ia juga rancangan pembangunan metropolis bertaraf dunia di kawasan seluas 153,411 hektar merangkumi Seremban dan Port Dickson.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon