MOT sasar 70 peratus penggunaan kandungan tempatan dalam industri rel negara menjelang 2030 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MOT sasar 70 peratus penggunaan kandungan tempatan dalam industri rel negara menjelang 2030

MOT sasar 70 peratus penggunaan kandungan tempatan dalam industri rel negara menjelang 2030

20 Jul 2022

Kementerian Pengangkutan (MOT) menetapkan sasaran peratusan penggunaan kandungan tempatan dalam industri rel negara meningkat kepada 70 peratus menjelang 2030 berbanding 45 peratus pada masa ini. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata usaha tersebut akan diterajui oleh kementeriannya di bawah Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE) untuk menambah penglibatan syarikat tempatan dalam membina keupayaan negara agar tidak terlalu bergantung kepada negara pengeluar asing. 

“Kita masih ada banyak ruang lagi untuk diperbaiki termasuk teknologi pembuatan dan pemasangan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di kilang pemasangan gerabak Hartasuma Sdn Bhd di sini hari ini. 

Mengambil contoh kejayaan Hartasuma yang bermula pada 1994 sebagai ejen kepada syarikat pembuatan kereta api dari luar negara, katanya syarikat Bumiputera itu kini telah berupaya untuk bekerjasama dengan pengeluar antarabangsa untuk melakukan pemasangan kenderaan rel dan menambah kandungan tempatan di Malaysia.

“Saya berasa kagum dengan Hartasuma hari ini apabila kita melihat daripada projek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur (KLAV 27), tren pertama yang mengandungi empat gerabak hingga tren kelapan dibuat di luar negara.

“Manakala tren kesembilan dan seterusnya, pemasangannya dilakukan di sini dan dijangka selesai pembekalannya pada Disember 2024 yang dilaksanakan secara berperingkat,” katanya. 

Katanya penggunaan 45 peratus kandungan tempatan oleh syarikat rel Malaysia termasuk Hartasuma telah mencipta banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat tempatan.

Hartasuma menerusi konsortium dengan Alstom S.A, telah dianugerahkan kontrak pada 2017 bagi projek KLAV 27 bernilai RM1.72 bilion untuk pembekalan 108 gerabak transit aliran ringan (LRT) baharu bagi Laluan Kelana Jaya. Setiap satu tren mengandungi empat gerabak. 

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Hartasuma Tan Sri Ravindron Menon berkata Hartasuma bekerjasama dengan NRCOE untuk menjadi vendor Tahap 1 yang layak untuk memasang dan membaik pulih ‘bogie’ tempatan di bawah program Pembangunan Industri Kenderaan Rel. 

“Inisiatif seperti ini dapat meningkatkan keupayaan Malaysia dari segi teknikal dan membantu mengurangkan aliran keluar modal,” katanya.

Katanya Hartasuma juga kini bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kuala Lumpur untuk melahirkan tenaga kerja mahir bagi pelbagai bidang dalam industri kereta api.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon