B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI seru peneraju industri plastik ambil inisiatif bawah Industry4WRD

MITI seru peneraju industri plastik ambil inisiatif bawah Industry4WRD

02 Nov 2021

KUALA LUMPUR, 2 Nov — Peneraju dalam industri plastik digalakkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) termasuk agensi berkaitan dalam melaksanakan program serta inisiatif di bawah Dasar Kebangsaan Industri 4.0 (Industry4WRD) untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dan meningkatkan produktiviti.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perindustrian MITI Datuk Hanafi Sakri berkata adalah penting bagi Malaysia untuk mengubah atau beranjak pada kadar yang pantas dan menerima Industri 4.0 sebagai asas penting bagi memacu serta mengekalkan masa depan daya saing sektor pembuatannya.

“Industry4WRD bertujuan mengubah industri pembuatan dan perkhidmatan berkaitan agar menjadi lebih bijak, tersusun dan lebih cekap melalui penggunaan teknologi Industri 4.0. Saya percaya persidangan ini adalah sejajar dengan objektif Industry4WRD,” katanya dalam ucaptama pada persidangan maya Plastech Month 2021 Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) yang dilancarkan hari ini.

Persidangan yang bertemakan ‘Kekal Relevan : Kuasa Teknologi’ itu bertujuan mempercepatkan kemajuan industri plastik negara ke arah kemampanan melalui penggunaan teknologi dalam perniagaan dan pembuatan.

Menurut Hanafi, MITI meletakkan sektor kimia, termasuk plastik dan komposit, ke arah menghasilkan produk nilai tambah yang lebih tinggi dan dipacu pasaran, yang kemudiannya akan menyokong pertumbuhan serta pembangunan subsektor lain di negara ini.

Subsektor kimia, termasuk petroleum ditapis, kimia, petrokimia dan produk plastik secara kolektif menyumbang 6.1 peratus kepada sektor pembuatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2021, dengan produk plastik sahaja menyumbang 0.8 peratus.

Hanafi turut menyeru peneraju industri untuk mengikuti trend global mengenai kemampanan dan bergerak ke arah ekonomi plastik kitaran memandangkan kesan sisa serta pengeluaran plastik terhadap alam sekitar, ditambah dengan penggunaan plastik, mungkin menyumbang kepada jejak karbon yang tinggi.

Oleh itu, beliau berkata sistem penggunaan dan pengeluaran plastik perlu lebih cekap dan mampan untuk kegunaan yang lebih lama termasuk sedia digunakan dan dikitar semula bagi memperbaharui nilainya sehingga ke akhir hayat.

Beliau juga menggesa peneraju industri supaya menerima prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), yang telah menjadi kriteria yang semakin penting untuk pertumbuhan inklusif, saksama dan mampan.

“Pelabur asing semakin mempertimbangkan faktor ESG dalam keputusan pelaburan mereka. Adalah penting bagi pihak berkepentingan industri tempatan untuk mencari jalan bagi menambah baik amalan ESG mereka ke arah memperoleh peluang pelaburan dan mengekalkan perniagaan sejajar dengan aliran masa depan ini,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Hanafi meminta peneraju industri untuk melengkapkan diri mereka dengan perkembangan dan kemajuan teknologi terkini , sama ada secara individu atau kolektif, melalui MPMA.

Sementara itu, Presiden MPMA Datuk Lim Kok Boon dalam ucapan perasmiannya berkata pembuatan plastik adalah sektor yang inovatif dan bergerak pantas.

“Bahan baharu dan teknologi pemprosesan sedang dibangunkan setiap tahun untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran, prestasi dan kualiti produk selain daripada memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah.

“Oleh itu, mengikuti perkembangan teknologi terkini adalah faktor terpenting dalam mengekalkan daya saing kami dalam pasaran,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon