B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Aspirasi Pelaburan Nasional baharu MITI bakal tarik pelaburan strategik – PM

Aspirasi Pelaburan Nasional baharu MITI bakal tarik pelaburan strategik – PM

02 Nov 2021

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang merangka Aspirasi Pelaburan Nasional baharu untuk menarik pelaburan strategik dan mempunyai nilai impak ekonomi tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bertujuan untuk memastikan Malaysia kekal relevan sebagai rakan dagang dan destinasi pelaburan pilihan.

“Keupayaan ini akan menyokong dan menggalakkan integrasi antara industri tempatan dengan rantaian bekalan serantau dan global,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2020, di sini, malam ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar sekiranya Malaysia berhasrat untuk meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah, produk yang dieksport perlu mematuhi piawaian elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan memperkukuhkan pendekatan berteraskan elemen ESG sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau.

“Kita akan ketinggalan sekiranya kita mengambil sikap sambil lewa dan bertangguh dalam usaha ke arah penerapan elemen ESG ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga dengan keberkesanan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diterajui MITI.

Menurutnya, PIKAS telah menyumbang secara signifikan terhadap usaha kerajaan untuk mempertingkatkan imunisasi pekerja industri seterusnya mengurangkan risiko kluster COVID-19 tempat kerja.

Beliau berkata kerajaan amat menghargai kerjasama pihak industri dalam menjayakan program vaksinasi sebagai langkah untuk meningkatkan perlindungan dan pencegahan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyatakan komitmennya dalam menjayakan kelestarian agenda pemulihan ekonomi demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Sementara itu Menteri MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapan alu-aluan beliau berkata kementeriannya akan terus memperkukuhkan asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus serta mesra perniagaan.

“Ini termasuklah usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Kerajaan juga akan terus menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju yang akan menjanakan pekerjaan bagi Keluarga Malaysia berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA),” katanya.

Anugerah Kecemerlangan Industri yang dianjurkan setiap dua tahun sekali itu bertujuan untuk mengiktiraf syarikat yang telah menunjukkan prestasi cemerlang di samping mendorong syarikat untuk terus menambah baik produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X