B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Industri plastik sokong pertumbuhan ekonomi Malaysia – MPMA

Industri plastik sokong pertumbuhan ekonomi Malaysia – MPMA

02 Nov 2021

Peningkatan semula jualan plastik buatan kilang membuktikan kepentingan industri itu dalam menyokong sektor ekonomi penting semasa pandemik COVID-19, menurut Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA).

Presiden, Datuk Lim Kok Boon berkata memetik angka Jabatan Perangkaan Malaysia, jualan plastik buatan kilang meningkat 23 peratus tahun ke tahun kepada RM38.68 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama 2021.

“Eksport produk plastik meningkat 21 peratus dalam tempoh yang sama daripada RM8.63 bilion kepada RM10.43 bilion.

“Peningkatan kukuh ini didorong oleh pembukaan kembali kebanyakan sektor pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya semasa berucap merasmikan Bulan Plastech MPMA secara maya pada Selasa.

Bulan Plastech bertemakan ‘Kekal Relevan: Kuasa Teknologi’ yang julung-julung kali dianjurkan itu mengetengahkan sembilan sesi berlangsung secara berjeda hari bagi tempoh sehingga 2 Dis, 2021.

Ia bertujuan mempercepat kemajuan industri plastik negara ke arah kelestarian melalui penggunaan teknologi dalam perniagaan dan pembuatan.

Bulan Plastech MPMA 2021 menekankan enam topik iaitu pembuatan pintar, pembungkusan fleksibel, kemas kini pengacuan, teknologi bahan, ekonomi sirkular dan perubahan iklim serta trend dan teknologi kitar semula.

Lim menggesa industri untuk membangunkan modal insan yang diperlukan untuk mengendalikan teknologi baharu dan, pada masa sama, terus melabur dalam teknologi dan proses inovatif untuk memperkukuh rantaian nilai.

MPMA memuji inisiatif kerajaan untuk melanjutkan insentif cukai elaun pelaburan semula (EPS) selama dua tahun lagi sehingga 2024 bagi syarikat yang tempoh EPS mereka telah tamat.

“Walaupun gembira dengan lanjutan ini, MPMA ingin merayu kepada kerajaan supaya melanjutkan EPS dengan tiada had tempoh dikenakan ke arah menyokong keperluan berterusan untuk melabur dalam teknologi terkini bagi sektor pembuatan,” katanya.

Beliau juga merayu supaya bantuan kerajaan diteruskan untuk mempercepat penerimagunaan proses automasi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui peruntukan dana tambahan Geran Automasi Pintar (SAG).

Ini kerana automasi adalah penting untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti selain menyokong operasi baharu, katanya.

Lim berkata di bawah Bajet 2022 kerajaan bercadang memperuntukkan RM100 juta lagi untuk SAG, yang dijangka dimanfaatkan oleh kira-kira 200 syarikat.

“Walaupun ini merupakan jumlah yang menggalakkan, kami berpendapat lebih banyak lagi diperlukan memandangkan bilangan PKS yang besar bersaing untuk sebahagian geran itu,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon