B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hong Seng Industries labur RM3 bilion buka kilang sarung tangan terbesar di dunia di KRC

Hong Seng Industries labur RM3 bilion buka kilang sarung tangan terbesar di dunia di KRC

01 Nov 2021

Hong Seng Industries Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Hong Seng Consolidated Bhd akan melabur sebanyak RM3 bilion di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap, Kedah bagi membina fasiliti getah nitril butadiena (NBL) terbesar di dunia bermula tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Seng Datuk Seri Teoh Hai Hin berkata pembinaan fasiliti itu dijangka menarik pelaburan tambahan sebanyak RM5 bilion melalui industri sokongan dan rantaian nilai industri getah nitril serta mewujudkan lebih 1,600 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang kepakaran terutamanya kepada penduduk sekitar KRC.

“Ini akan menjadi pemangkin pemulihan ekonomi bagi mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media selepas majlis simbolik pecah tanah projek pembinaan kilang pembuatan getah nitril butadiena (NBL) itu, di sini, hari ini.

Teoh berkata kilang yang dijangka siap pembinaannya pada 2024 itu akan mempunyai kapasiti pengeluaran penuh sebanyak 960 kilo tan sarung tangan setahun.

“Syarikat kami akan menggunakan teknologi termaju dan mematuhi piawaian kualiti antarabangsa bagi memenuhi permintaan sarung tangan yang semakin meningkat,” katanya.

Hong Seng Industries telah menerima surat tawaran menyewakan semula tanah perindustrian seluas 41.04 hektar di KRC pada 25 Jun lepas untuk tempoh 60 tahun bagi pembinaan kilang itu.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang turut hadir pada majlis itu berkata Kumpulan Hong Seng merupakan syarikat pertama yang melabur di KRC serta menyambut baik usaha syarikat itu membina kilang di taman perindustrian getah itu.

Beliau berkata projek itu dijangka mampu menarik pelabur dari dalam dan luar negara berdasarkan kepada potensi pelaburan jangka panjang selain memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.

KRC yang kini mencapai 85 peratus pembinaan dibangunkan di atas tanah berkeluasan hampir 505.86 hektar, merupakan salah satu projek nasional di bawah Pelan Pembangunan Strategik 2021-2025 (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon