B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI sentiasa kaji semula dasar NAP 2020

MITI sentiasa kaji semula dasar NAP 2020

16 Mac 2023

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa mengkaji semula Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) bagi memastikan ia sejajar dengan perkembangan semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri Isham Ishak berkata dasar itu bersifat ‘futuristik’ dan tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini.

“NAP 2020 masih dikemas kini dan dipakai dengan baik buat masa sekarang. Ia sentiasa terus disemak di bawah MITI serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

“Kami melihat (setiap) perubahan, (sebagai contoh) geopolitik, supaya kami boleh mengubahnya dengan segera dan industri akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini melalui sokongan dasar kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Pameran Perdagangan Automotif-Automechanika Kuala Lumpur 2023 di sini hari ini.

Selain NAP 2020, terdapat juga dasar oleh agensi lain yang menyediakan sokongan mikro terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeluar, penyedia bahan mentah, syarikat perantaraan yang menghasilkan barangan perantaraan serta pemasang akhir.

Isham berkata contohnya, adalah Dasar Kenderaan Elektrik (EV) Nasional yang turut dimasukkan ke dalam Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon serta Dasar Pengangkutan Negara untuk memacu penggunaan EV di Malaysia di tengah-tengah peningkatan seruan ke arah alam sekitar, sosial dan tadbir urus di peringkat global.

Penubuhan Pasukan Petugas EV Kebangsaan bertujuan merangkumkan semua dasar berkaitan EV dan menyatukan semua pihak berkepentingan untuk membentuk persefahaman yang sama serta sinergi yang kukuh dalam memastikan semua inisiatif merentasi skop dan bidang kuasa masing-masing dapat digabungkan.

“Pasukan petugas khas ini akan menilai dasar semasa, menggubal dasar baharu dan memantau pelaksanaan agenda EV.

“Sebagai contoh, stesen pengecasan, yang mana kami menerima aduan bahawa Malaysia mempunyai jumlah stesen EV yang amat sedikit tetapi angka ini telah bertambah kepada 900 stesen pengecasan dan banyak lagi akan dibina,” katanya.

Pada masa sama, pemilik stesen minyak perlu menyesuaikan diri serta bertindak balas terhadap perubahan ini kerana mereka perlu memenuhi keperluan pengguna pengecasan, yang menggunakan lebih banyak masa berbanding semasa mengisi minyak.

Beliau berkata penyedia telekomunikasi juga mesti dapat menampung kemajuan teknologi yang melengkapkan sesebuah EV.

Isham berkata permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan cekap tenaga bukan sahaja akan memacu sektor itu tetapi juga segmen nilai tambah yang lain.

“Sesetengah pemain bergerak ke arah hibrid terlebih dahulu sebelum bersedia ke arah EV. Ada yang mencebur terus ke dalam EV seperti pengumuman Tesla baru-baru ini di Malaysia,” katanya.

Isham juga menjangkakan trend baharu membabitkan minat orang ramai terhadap segmen hiburan serta gaya hidup dalam kereta.

“Kami lihat permintaan semakin meningkat untuk hiburan. Permintaan pasaran bagi meningkatkan kenderaan mereka juga bertambah.

“Jadi, kenderaan bukan sekadar pergerakan tetapi juga ke arah penyesuaian, hiburan dan trend ini juga berubah,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata industri automotif secara keseluruhannya menawarkan nilai menarik untuk pelaburan mereka di Malaysia.

“Ya, kami melihat banyak pengeluar baharu memasuki Vietnam tetapi kami mesti melihat perspektif keseluruhan,

“Mereka mempunyai lebih daripada 90 juta orang, jadi pasaran mereka adalah jauh lebih besar daripada Malaysia tetapi orang (pelabur) yang datang ke negara ini adalah berbeza kerana daripada segi pembelian kenderaan premium, Malaysia antara yang tertinggi berbanding negara ASEAN yang lain.

“Jadi, inilah trend yang sedang datang ke dalam industri automotif dan ini merupakan masa yang sangat mengujakan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon