B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia jadi pasaran utama perniagaan infrastruktur digital serantau, global – Fitch Solutions

Malaysia jadi pasaran utama perniagaan infrastruktur digital serantau, global – Fitch Solutions

16 Mac 2023

Fitch Solutions menyenaraikan Malaysia sebagai antara pasaran utama untuk perniagaan utiliti berteraskan infrastruktur digital di peringkat serantau dan global sekali gus menyediakan platform yang sesuai untuk operasi pusat data.

Penyedia data, penyelidikan dan analisis itu berkata Malaysia muncul sebagai antara hab infrastruktur digital utama di rantau Asia-Pasifik susulan pembangunan rancangan pendigitalan kerajaan, pelonggaran landskap kawal selia dan dasar mesra teknologi.

Baru-baru ini, syarikat pengurusan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Amazon Web Services (AWS) mengumumkan rancangan untuk melabur US$6 bilion (US$1=RM4.51) pada 2037 untuk mempertingkatkan perkhidmatan awan di negara ini, tambahnya.

“AWS merancang untuk menambah tiga zon ketersediaan di negara ini kepada portfolio global 99 zonnya merentas 31 wilayah geografi,” jelasnya.

Menurut Fitch Solutions Malaysia akan menawarkan profil tenaga kerja yang berdaya saing kepada perniagaan disokong tenaga kerja yang produktif, piawaian penjagaan kesihatan yang baik dan dipertingkatkan serta taburan penduduk bandar yang positif walaupun kurang berdaya saing dari segi kos.

“Pertumbuhan penduduk yang bekerja juga dijangka perlahan dan berkurangan dalam jangka masa panjang, yang akan membawa kepada keadaan pasaran buruh terhad, (menambah) kos pembinaan jangka pendek.

“Bagi jangka masa panjang, negara ini memperoleh manfaat daripada asas pekerjaan mahir yang diperlukan untuk pengurusan pusat data bagi jangka masa panjang,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Fitch Solutions menjelaskan Malaysia telah menarik peserta global utama dengan pelaburan meningkat memandangkan lokasi negara ini yang strategik dan berhampiran Singapura.

Permintaan pusat data akan meningkat secara beransur-ansur serta dinamik, menjadikannya lebih sukar untuk memenuhi permintaan mereka, menurutnya.

“Pasukan risiko operasi kami mendapati sebagai perbandingan kepada kebanyakan pesaing serantau (termasuk Singapura dan Hong Kong), Malaysia dikurniakan sumber semula jadi, (memberi manfaat kepada) syarikat dengan menyediakan utiliti yang boleh dipercayai dan menjimatkan, terutama bahan api dan elektrik, yang tersedia secara meluas.

“Bagaimanapun, gabungan peningkatan permintaan tenaga dan kutipan hasil cukai yang rendah akan memberi beban besar kepada sumber kerajaan dan menyukarkan kerajaan mengekalkan harga bahan api menerusi sokongan kewangan,” tambah Fitch Solutions.

Menurut Fitch Solutions ini akhirnya mungkin membawa kepada penghapusan subsidi kemajuan jangka sederhana hingga panjang, yang akan mengakibatkan kenaikan harga tenaga.

Walau bagaimanapun, apabila loji jana kuasa dan sistem pengagihan baharu meningkatkan kapasiti untuk menghasilkan tenaga pada kadar yang lebih rendah, Malaysia akan terus menyediakan bekalan bahan api dan elektrik pada harga yang paling berpatutan, menurut firma.

“Hasilnya, Malaysia merekodkan skor 72.6 (daripada 100) untuk rangkaian utiliti dan menduduki tempat ketiga daripada 18 pasaran di rantau Asia Timur dan Tenggara, mendahului Singapura, Hong Kong dan Vietnam namun di belakang Brunei dan Taiwan. Di peringkat global, Malaysia menduduki tempat kelapan daripada 201 ekonomi,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon