B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan Negeri Berhasrat Jadikan Melaka Hab Ekonomi Hijau

Kerajaan Negeri Berhasrat Jadikan Melaka Hab Ekonomi Hijau

16 Mac 2023

Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Melaka sebagai hab Ekonomi Hijau (Green State Economy) yang boleh menghasilkan kesejahteraan manusia dan jaminan ekuiti sosial lebih baik, mengurangkan risiko alam sekitar dan kelangkaan ekologi, kata Menteri Besar Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Justeru, katanya, kerajaan negeri perlu memulakan gerakan tersebut dengan pelan dan visi yang jelas selari dengan langkah kerajaan Persekutuan yang sentiasa menambah peruntukan dalam Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT).

Beliau berkata dalam pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, pembangunan ekonomi hijau diberi peruntukan hampir RM600 juta antaranya merangkumi pewartaan kawasan perlindungan baharu habitat, program perlindungan binatang dan spesies hidupan liar, pengasingan sisa dan kitar semula serta pengurusan teknologi tepat dan kelestarian pertanian.

“Di samping itu, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kemudahan pembiayaan kepada Ekonomi Hijau ini. Peruntukan sebanyak RM1 bilion dalam Dana Pembiayaan Teknologi Tinggi dan Hijau manakala peruntukan sebanyak RM1 bilion pula untuk Dana Pembiayaan Peralihan Karbon Rendah, selain Khazanah Nasional memperuntukkan RM150 juta untuk Pembangunan Projek Mesra Alam.

“Selain itu juga, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) menaikkan nilai jaminan kepada RM3 bilion sehingga 2025 manakala Bank Pembangunan Malaysia turut memperuntukkan RM1 billion bagi Skim Pembangunan Mampan,” katanya ketika berucap menggulung dan menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Mengenai pengangkutan awam pula, Sulaiman berkata Melaka cukup bertuah dipilih sebagai lokasi kajian bagi menghasilkan sebuah pelan strategik pengangkutan awam negeri selari dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 iaitu Pelan Induk Pelaksanaan Pengangkutan Hijau (GTIMP) Melaka dengan kerjasama kerajaan United Kingdom.

“Melalui dokumen ini, dua program intervensi telah diperuntukkan untuk dilaksanakan di Melaka iaitu Pelan Pelaksanaan Rangkaian Bas Hijau dan Pelan Integrasi Mobiliti Kawasan Warisan.

“Melalui pelaksanaan pelan strategik bersepadu ini akan dapat membantu mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Melaka melalui keberkesanan perancangan jalan raya, meningkatkan perkhidmatan pengangkutan bas awam henti henti dan menangani isu kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir melalui usaha mengintegrasi dan mempelbagaikan lagi mod perjalanan yang saling berhubung,” katanya.

Beliau berkata menerusi usaha itu alam sekitar dapat dijaga dengan lebih baik, sekali gus menggalakkan kedatangan pelancong serta membuka peluang ekonomi khususnya kepada peniaga dan penjaja kecil.

Katanya kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti syor dokumen GTIMP bagi menjaga kepentingan Negeri Melaka dari segi pengangkutan awam memandangkan ia di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon