B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI sedia bantu industri, pengeksport peroleh pelbagai faedah CPTPP

MITI sedia bantu industri, pengeksport peroleh pelbagai faedah CPTPP

23 Dis 2022

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersedia untuk membantu dan menyokong industri dan pengeksport Malaysia serta membantu rakyat mendapatkan pelbagai manfaat daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang berkuat kuasa 29 Nov, 2022.

Perjanjian perdagangan bebas (FTA) CPTPP berkuat kuasa untuk Malaysia pada 29 Nov, 2022 dan skop komprehensifnya termasuklah kawasan akses pasaran tradisional serta faktor-faktor seperti buruh, alam sekitar, perusahaan milik kerajaan, pemerolehan kerajaan, harta intelek, perdagangan elektronik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam satu kenyataan semalam, MITI berkata Malaysia akan mendapat manfaat daripada kadar duti keutamaan bagi barangan yang dieksport ke dan diimport dari lapan negara anggota CPTPP – Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam – yang telah melaksanakan perjanjian ini.

Ia berkata kadar duti keutamaan yang berkuat kuasa serta-merta ialah:

(a) Layanan penuh bebas cukai kepada semua eksport Malaysia yang memasuki Singapura dan Australia.

(b) Layanan bebas cukai ke atas 96 peratus eksport Malaysia dan baris tarif ke New Zealand pada masa ini, yang dijangka meningkat kepada 100 peratus menjelang 2024. Terutamanya, produk Malaysia merentasi semua sektor boleh memasuki pasaran New Zealand pada kadar duti sifar, kecuali produk seperti tekstil dan kayu diproses yang akan menjadi bebas cukai menjelang 2024.

(c) Eksport Malaysia ke Jepun tertakluk kepada layanan bebas cukai untuk 86 peratus baris tarif, yang akan meningkat kepada 100 peratus menjelang 2038.

(d) Layanan bebas cukai untuk 88 peratus baris tarif Malaysia ke Vietnam, ditetapkan pada 100 peratus menjelang 2033.

MITI berkata CPTPP akan membolehkan pengeksport Malaysia mendapat manfaat daripada layanan bebas cukai bagi majoriti baris tarif ke tiga pasaran baharu, Kanada, Mexico dan Peru, yang mana Malaysia tidak mempunyai sebarang FTA sebelum ini.

“Kanada secara beransur-ansur akan menghapuskan duti pada baris tarif yang sedia ada menjelang 2029, manakala Mexico dan Peru menjelang 2033,” katanya.

MITI berkata eksport Malaysia yang penting secara jelas akan mendapat manfaat daripada duti sifar termasuk alat ganti dan komponen automotif, tekstil dan kasut untuk pasaran Mexico.

“Sektor lain ialah produk berasaskan koko, produk getah, minyak sawit dan plastik untuk pasaran Peru,” katanya.

MITI berkata untuk perniagaan Malaysia menikmati tarif keutamaan CPTPP, mereka mesti mendapatkan Sijil Tempasal (CO) daripada kementerian.

“Untuk layak mendapatkan CO, pengeksport Malaysia ke negara-negara CPTPP dikehendaki mematuhi keperluan Peraturan Tempasal (ROO) yang sepadan,” katanya.

Kementerian itu berkata input dan bahan mentah yang diperoleh dari semua negara CPTPP diiktiraf sebagai kandungan asal.

“Ini membolehkan syarikat memanfaatkan rantaian bekalan serantau yang pelbagai, lebih cekap dan kos efektif.

“Dalam memudahkan pematuhan ROO, CPTPP juga memberi pengeksport dengan pelbagai pilihan kaedah pengiraan Kandungan Nilai Serantau (RVC),” tambahnya.

Bagi maklumat lanjut tentang permohonan elektronik untuk CO, sila layari laman web MITI di https://fta.miti.gov.my/index.php/pages/view/7

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon